'Hancur hati bawa anak lembik macam sayur', ibu terkilan anak alami cirit-birit 21 kali didakwa maut selepas doktor bekalkan air garam di Bentong


  • Tular
  • Selasa, 18 Jul 2023

Erma mendukung jenayah anaknya yang meninggal dunia dipercayai kerana dehidrasi akibat mengalami cirit-birit sebanyak 21 kali.

LULUH hati seorang ibu apabila mengendong jasad anaknya yang meninggal dunia pada Isnin dipercayai kerana dehidrasi akibat mengalami cirit-birit sebanyak 21 kali.

Kisah pilu tersebut dikongsikan oleh wanita berkenaan, Erma Iswani di Facebook pada Isnin memaklumkan bahawa anaknya yang dikenali sebagai Umair berusia dua tahun itu mengalami cirit-birit sejak Selasa lalu dan diberikan air minuman sepanjang pemantauannya di rumah sepanjang tempoh tersebut.

Namun pada Rabu lalu, dia membawa anaknya ke sebuah klinik kesihatan di Lurah Bilut, Bentong, Pahang untuk mendapatkan rawatan dan turut memaklumkan kepada doktor mengenai kesihatan kanak-kanak berkenaan.

"Doktor sedia maklum mengetahui anak saya seorang orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah lewat perkembangan (GDD) dan kalau terkena jangkitan mesti lagi teruk, tapi (doktor) tak alert (dengan keadaan anak).

"(Tapi) doktor mengatakan anak saya tidak mengalami demam kerana suhu telah diambil di luar terlebih dahulu, setelah diperiksa mulut dan berapa bahagian seperti kulit, perut, dia berkata anak saya tiada tanda dehdrasi.

"Doktor memberikan anak saya tiga sachet ubat air garam dan saya turut meminta ubat demam kepada beliau. Saya bertanya adakah anak saya terkena keracunan makanan dan dia mengiyakan perkara tersebut," katanya dalam hantaran berkenaan.

Dalam pada itu, Erma berkata, sebaik keluar daripada klinik berkenaan, dia mendapati kaki anaknya mempunyai bintik merah dan matanya cengkung ke dalam lalu terus ke klinik lain dalam daerah sama untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi ujian darah bagi mengenal pasti kemungkinan dijangkiti bakteria.

Selepas pemeriksaan dibuat, doktor di klinik berkenaan memaklumkan anaknya menunjukkan tanda-tanda dehidrasi, demam panas pada suhu 40.1 darjah Celsius dan diberi surat rujukan ke hospital kerana bacaan sel darah putih terlalu tinggi.

WhatsApp Image 2023-07-18 at 9.10.21 PM

Umair dikejarkan ke wad kecemasan di Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan, namun dipercayai meninggal dunia selepas tiga jam ditidurkan.

"Hancur hati saya usung anak ke wad kecemasan di Hospital Bentong, Pahang yang dalam keadaan lembik macam sayur. Setelah itu, anak saya terus diintubasi dan ditidurkan dalam keadaan kritikal kerana dehidrasi.

"Pada keesokan harinya, saya kembali ke klinik (pertama) untuk mendapatkan penjelasan doktor tersebut mengenai keputusan diagnosis anak saya. Saya sangat terkilan bila dia (doktor) menjawab bahawa proseder klinik kerajaan keadaan anak ketika itu tidak memerlukan darah untuk diambil.

"Kalau benarlah itu prosedur klinik kesihatan kerajaan sekarang, Saya sangat hampa! 21 kali (cirit-birit) itu mungkin tidak dipandang serius. Saya terkilan kenapa discharge anak saya dengan hanya berbekalkan 3 sachet air garam tanpa darah diambil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Erma memaklumkan kekesalannya terhadap doktor di Lurah Bilut, Bentong, Pahang yang tidak peka dengan keadaan anaknya dan mengambil sambil lewa prosedur pemeriksaan kesihatan anaknya.

"Saya ini bodoh, sebab itu saya perlukan orang yang pandai macam doktor untuk bantu rawat anak saya. Saya hilang senyuman anak saya hanya dalam masa sehari sahaja.

"Saya harap penulisan saya ini sampai kepada doktor Klinik Kesihatan Lurah Bilut, Bentong, Pahang. Andai ada lagi insan malang seperti anak saya dapatkan rawatan dengan doktor, tolonglah alert dengan keadaan patient lagi-lagi patient yang memang tak normal macam orang lain," katanya.

Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak klinik kesihatan terbabit atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan isu tersebut. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram