ISU perubahan iklim dan alam sekitar jarang diangkat sebagai isu utama semasa kempen politik terutamanya melibatkan insiden seperti banjir di Pantai Timur, selain peningkatan suhu akibat pada tahun ini.
Penganalisis politik, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, beliau tidak melihat sebarang isu penting tentang alam sekitar digunakan sebagai bahan kempen untuk enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kita ambil contoh masalah banjir yang kerap berlaku di Pantai Timur, nampaknya, ia tidak menjejaskan undi untuk kerajaan penyandang, contohnya di Kelantan," katanya.
Bagi penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Prof Dr Azmi Hassan pula, isu alam sekitar tidak pernah dibangkitkan oleh calon dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) atau PRN sebelum ini.
Katanya, perkara tersebut menjadikan calon-calon pilihan raya seolah-olah tidak senada dengan pengundi di kawasan tersebut.
"Walaupun terdapat sebilangan calon idealistik muda pada PRU15, namun mereka tidak menyentuh isu ini sepanjang tempoh berkempen.
"Ia tidak akan menarik banyak perhatian atau undi berbanding negara lain yang mengangkat isu alam sekitar sebagai satu kebimbangan besar dan boleh menjadi daya tarikan kepada calon,” katanya.
Calon-calon PRN perlu mengangkat isu perubahan iklim dan alam sekitar sebagai daya penarik dalam mendapatkan undi pada PRN nanti.
Dalam pada itu, Azmi berkata, perubahan iklim di Malaysia tidak dianggap sebagai isu besar kerana kesannya tidak dirasai oleh semua orang kecuali jika kawasan berkenaan dilanda banjir atau ribut.
Katanya disebabkan itu, ahli politik tidak membangkitkan isu itu untuk meraih undi.
Sementara itu, pensyarah kanan di Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSCSD) di Universiti Sunway, Prof Dr P. Agamuthu berkata, walaupun perubahan iklim menjadi topik hangat ketika ini, isu alam sekitar sering diketepikan dalam kempen politik.
Katanya, ia mungkin berpunca daripada kekurangan pemahaman di semua peringkat masyarakat yang tidak memahami implikasinya terhadap kehidupan seharian.
"Ia adalah isu global tetapi tidak ada ikatan politik di sini. Kami melihat lebih banyak isu seharian diperkatakan semasa kempen politik,” katanya. — The Star/ FAZLEENA AZIZ
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram