Haram ambil hak orang lain, mufti gesa serah 'wang berterabur' kepada polis cari pemilik


  • Mukmin
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Wan Ibrahim Wan Leh terlupa yang dia meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang tersebut. — Bernama

BARU-BARU ini tular tentang satu insiden seorang lelaki yang mendakwa kehilangan kira-kira separuh daripada wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok, Jerteh, Terengganu.

Kejadian tersebut yang tular di media sosial itu turut memaparkan beberapa individu mengutip wang yang bertebaran di atas jalan raya.

Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor menegaskan bahawa haram hukumnya untuk mereka untuk menggunakan wang tersebut bagi kegunaan peribadi.

"Itu tak boleh (kutip duit orang lain), kalau dia (individu yang mengutip wang) tahu wang itu kepunyaan orang lain, dia kena serah kepada polis, minta mereka cari pemilik wang itu dan serahkan wang itu kepadanya.

"Kita tidak boleh makan (guna) duit, itu duit orang, haram (hukumnya)," katanya kepada Majoriti.

Wan Mohd Salim turut memberi contoh situasi jika terdapat kehilangan wang dalam masjid yang berlaku dalam kalangan ahli kariah mereka.

Penang mufti Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Wan Mohd Salim menegaskan haram hukumnya untuk mereka untuk menggunakan wang tersebut.

Katanya, pihak pengurusan masjid selalunya akan membuat pengumuman kepada penduduk untuk memaklumkan tentang kehilangan wang tersebut supaya pemiliknya dapat tampil membuat tuntutan di masjid berkenaan.

"Tapi kalau kita tidak tahu di mana pemilik wang itu tinggal, lebih baik kita serahkan kepada pihak polis," katanya.

Terdahulu, ibu kepada pemilik wang berkenaan, Che Safiah Abdullah, 63, berkata, anaknya Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa yang dia meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang tersebut.

Katanya, anak bujangnya itu meletakkan beg berisi wang tersebut di atas but kereta kerana mahu membersihkan bahagian dalam kereta, namun terlupa tentang wang berada di situ dan terus memandu ke arah bandar.

Wan Ibrahim hanya menyedari wang tersebut terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram