[VIDEO] Jalan raya tiba-tiba terangkat, orang lari bertempiaran akibat letupan gas bawah tanah


  • Benua
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Kesan selepas letupan daripada bawah tanah di Johannesburg, Africa Selatan pada Khamis yang berpunca daripada kebocoran paip gas. — Agensi

ORANG ramai yang melalui kawasan Johannesburg, Africa Selatan berdepan detik cemas apabila jalan raya di lokasi tersebut tiba-tiba merekah dan meletup dari bawah tanah pada Khamis.

Difahamkan seorang maut manakala, 48 orang lagi cedera akibat insiden berkenaan.

Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut memaparkan jalan raya tiba-tiba merekah dan terangkat yang seterusnya merosakkan kenderaan dan bangunan sekitarnya.

Insiden ngeri itu mencemaskan orang ramai yang kemudian lari bertempiaran.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar letupan dari bawah tanah itu dan orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa penduduk sekitar kawasan berkenaan mendakwa terhidu bau gas dipercayai paip bocor di bawah tanah yang menjadi punca letupan berkenaan.

Namun begitu, pihak Egoli Gas, yang mengendalikan sumber asli bawah tanah itu menafikan dakwaan berkenaan menerusi satu ciapan di Twitter.

"Sistem perpaipan di sini tidak mengalami sebarang tekanan yang menyebabkan saluran paip bocor dan meletup.

"Pengguna di kawasan ini masih boleh menggunakan gas tanpa sebarang gangguan," katanya. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram