POLIS menafikan dakwaan seorang wanita warganegara Indonesia yang mendakwa menjadi mangsa dera majikan dan terpaksa melarikan diri bagi memohon bantuan seperti video yang sedang tular di media sosial ketika ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati wanita yang berlagak sebagai mangsa itu sebenarnya melarikan diri dari rumah majikan di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor dengan melarikan barang berharga dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM10,850.
Beliau berkata, perkara itu dijelaskan setelah anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima laporan daripada majikannya pada pukul 10.48 malam pada Selasa.
“Pihak polis menerima laporan daripada wanita warga tempatan berusia 52 tahun mengatakan pembantu rumahnya yang juga warga asing telah melarikan diri bersama barang berharga dan wang tunai miliknya keseluruhan bernilai RM10,850.
“Suspek berusia 31 tahun itu melarikan diri dari rumah pengadu pada pukul 11.21 pagi Isnin,” katanya.
Terdahulu, tular video yang memaparkan seorang wanita warga Indonesia bertemu seorang lelaki mendakwa baru dua minggu bekerja di Johor sebagai pembantu rumah dan telah dipukul serta tidak diberi makan oleh majikannya.
Dalam video berkenaan, lelaki berkenaan mendakwa membawa wanita tersebut makan sebelum membuat laporan polis dan membawanya ke Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru.
Dalam pada itu, Raub berkata, pembantu rumah wanita itu telah melarikan diri sambil membawa sebuah beg beli belah warna biru dengan memanjat pagar hadapan rumah majikannya.
Tambahnya, suspek memakai baju t-shirt warna hitam berbelang kuning di bahagian dada dan berseluar merah ketika melarikan diri dari rumah majikannya.
Raub berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru mengesahkan menerima kehadiran wanita tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Isnin.
Konsul Bagian Penerangan dan Sosial Budaya KJRI Johor Bahru, Rizali Noor berkata, hasil temu bual mendapati wanita itu berada di Malaysia sejak 15 Jun lalu, namun pihaknya tidak mengetahui nama serta alamat majikan atau agensi yang terbabit. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram