[VIDEO] Pak 'guard' tunjuk samseng siap buka butang baju, kasari wanita hamil 8 bulan di Bangi


  • Tular
  • Rabu, 19 Jul 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan seorang pengawal keselamatan dan sepasang suami isteri di Bandar Baru Bangi.

KECOH apabila seorang pengawal keselamatan dirakam bertindak ganas terhadap sepasang suami isteri di sebuah pusat beli-belah di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Rabu.

Insiden itu tercetus sebaik lelaki berkenaan diarahkan untuk mengalihkan kenderaannya yang dikatakan menghalang laluan di pintu masuk pusat beli-belah tersebut.

Mendakwa hanya meletakkan keretanya di situ untuk seketika, individu itu kemudiannya meminta pertolongan isterinya untuk memandu kenderaan mereka ke laluan yang lebih selamat.

Namun, salah seorang pengawal keselamatan bertugas dikatakan telah mengeluarkan kata-kata kesat yang sekali gus mengundang perbalahan antara mereka.

Pengawal terbabit yang enggan mengalah, terus menengking dan mencabar individu terbabit untuk bergaduh di tempat lain.

Si isteri yang tersentak dengan kelakuan petugas itu, lantang mempersoalkan kelakuannya yang dianggap seperti samseng.

Menurut pemandu lelaki berkenaan, isterinya sedang hamil lapan bulan dan dikasari oleh pengawal terbabit selepas gagal mengawal kemarahannya.

Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dengan pergaduhan itu terlerai susulan beberapa individu lain tampil membantu mereka.

Menurutnya, satu laporan polis juga telah dibuat berhubung insiden berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor pada hari kejadian.

Namun, masih belum ada sebarang tangkapan ataupun kenyataan polis berkaitan isu terbabit setakat ini dan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi tentang hal tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram