Selain Millah Abraham, 4 ajaran sesat pernah wujud di negara ini


  • Massa
  • Khamis, 22 Dis 2022

Ajaran sesat mengelirukan umat Islam di negara ini. — Gambar hiasan/Agensi

PENGAKUAN pelakon, Pablo Amirul yang mendedahkan bahawa dirinya sudah dua tahun mengikuti ajaran sesat menggemparkan tanah air, khususnya umat Islam.

Pablo atau nama sebenarnya, Amirul Hisyam Mohd Sakri, 37, menerusi perkongsian secara langsung di Facebook (FB) berkata, dia mengikuti ajaran Millah Abraham selepas mengikuti seorang wanita yang juga bekas kekasihnya dipercayai juruterbang.

Ajaran Millah Abraham difatwakan sebagai menyeleweng dan bertentangan oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Muzakarah MKI) Kali Ke-109 pada 2016.

Selain Millah Abraham, berikut merupakan empat ajaran sesat yang pernah wujud dan kontroversi di negara ini:

1) Hadi Minallah

download (4)

Hadi Minallah mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia, selain aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui laman YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Menerusi video di laman tersebut, seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Selain mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad turut mendakwa tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Idris Ahmad dilapor berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengenal pasti lokasi pusat operasi Hadi Minallah.

2) Al-Arqam

AL ARQAM

Pengikut ajaran Al-Arqam di Malaysia — Agensi

Al-Arqam merupakan gerakan yang diasaskan oleh Abuya Ashaari Muhammad pada 1968.

Selain sebagai gerakan, mereka juga membawa ajaran sendiri iaitu Aurad Muhammadiah.

Antara ajaran penyelewengan mereka termasuk Sheikh Muhammad Suhaimi ialah Khalifah Rasulullah dan setaraf dengan Khulafa Ar-Rasyidin.

Selain itu, Sheikh Muhammad Suhaimi didakwa tidak mati tetapi ghaib. Dia didakwa kononnya muncul kembali sebagai Imam Mahdi.

Terdapat dakwaan bahawa mereka boleh bertemu dengan nabi secara jaga (yaqazah) dan melalui mimpi. Sheikh Muhammad Suhaimi juga didakwa boleh diseru apabila memerlukan pertolongan.

Gerakan ini telah diharamkan oleh kerajaan pada 1994.

Namun, saki baki pengikut mereka dipercayai masih bergerak aktif di atas nama bidang perniagaan iaitu Rufaqah Cooperation.

3) Kerajaan Langit

langit

Ayah Pin berjaya mempengaruhi ramai orang sehingga dipuja seperti tuhan. — Agensi

Ajaran ini diasaskan oleh Ariffin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin serta berpusat di Besut, Terengganu.

Rumah ibadat agama ini dikelilingi pelbagai replika seperti teko, tempayan, payung dan bulan sabit.

Pada tahun 2002, pengikut kepada ajaran ‘Kerajaan Langit’ mula mencecah ribuan orang.

Ayah Pin mendakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan langit dan dipercayai oleh pengikutnya untuk menjadi penjelmaan semula Jesus, Buddha, Shiva, dan Muhammad.

ayah pin

Ayah Pin bergambar bersama replika miliknya. — Agensi

Oleh kerana itu, dia berjaya mempengaruhi ramai orang sehingga dipuja seperti tuhan.

Ayah Pin telah meninggal dunia pada 22 April 2016, ketika berusia 74 tahun kerana sakit tua.

Walaupun dia sudah tiada, tetapi saki baki pengikutnya masih lagi ada sehingga hari ini dan mengamalkan ajarannya.

Hampir 11 tahun beroperasi di Malaysia, ajaran sesat ini berjaya dikesan oleh pihak berkuasa dan agama tempatan. Kawasan Kerajaan Langit juga sudah dimusnahkan.

4) Ajaran Matahari/Taslim

download (5)

Pengasas ajaran Matahari menganggap dirinya sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Ajaran yang diasaskan oleh Haji Muhammad Shafie atau Haji Ahmad Matahari didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Antara ciri-ciri ajaran ini termasuk menyerah diri, anak, isteri dan harta kepada Rasul atau penggantinya yang berada di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Selain itu, penganutnya tidak perlu menunaikan solat kerana mendakwa ALLAH SWT akan bersama-sama dengan manusia apabila mengucap.

Malah, seseorang hanya sah menjadi Islam apabila dia berjumpa dengan Rasul di Kampung Seronok.

Pengasas ajaran ini menganggap dirinya sebagai pengganti Rasulullah SAW setelah Baginda SAW wafat.

Ajaran ini juga menganggap ibadat haji hanyalah cukup atau sah sekadar dengan mendaki Bukit Payong di Bayan Lepas, selain boleh bernikah secara batin;

Lebih teruk, ayat-ayat Al-Quran ditafsirkan mengikut nafsu; menolak beberapa perkara ghaib seperti wujudnya syurga, neraka dan hari kiamat; serta mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin.

Kerajaan Pulau Pinang pada 2010 menerusi pejabat muftinya mengeluarkan fatwa yang mengharamkan ajaran itu kerana menyeleweng daripada ajaran Islam.

Difahamkan, ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an dan merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia.

Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram