Dijanjikan pulangan jutaan ringgit, 7 pelabur didakwa berasa tertipu dengan syarikat libatkan Zamsaham


  • Massa
  • Rabu, 19 Jul 2023

Ainur (kiri) bersama antara individu yang didakwa berasa tertipu dengan pelaburan yang dibuat dalam beberapa syarikat membabitkan Zamsaham.

SERAMAI tujuh individu tampil ke hadapan selepas didakwa berasa tertipu terhadap pelaburan yang dibuat dalam beberapa syarikat membabitkan milik usahawan terkenal, Norizam Tukiman dengan nilai lebih RM800,000.

Antara turut terpalit dengan dakwaan tersebut ialah syarikat yang menguruskan Kelantan FC iaitu The Red Warriors (TRW) FC Berhad.

Peguam mewakili kumpulan tersebut, Ainur Rabiatuadawiyah Hassim berkata, anak guamnya tampil membuat pendedahan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan cara urus tadbir syarikat terbabit.

"Antara perkara tersebut adalah kegagalan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi tahun 2023. Sehingga kini Julai, masih tiada notifikasi berkenaan AGM tersebut.

"Kedua, jumlah saham yang dicatatkan dalam carian SSM untuk syarikat yang dilabur dan tidak selari dengan jumlah bayaran telah dibuat," katanya dalam satu sidang media diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Ainur berkata, isu turut dibangkitkan anak guamnya adalah apabila bayaran yang perlu dilakukan diarahkan dibuat kepada akaun perniagaan yang dimiliki oleh Zamsaham dan bukannya ke akaun yang dilaburkan.

Selain TRW Berhad, antara syarikat lain turut terbabit dalam dakwaan tersebut ialah UZ Hotel Berhad, UncleZam Holdings Berhad, Jaybee Satay Berhad dan MRI VC Berhad.

Menurut Ainur, kesemua syarikat tersebut merupakan syarikat milik atau proksi kepada Norizam yang juga dikenali dengan panggilan Zamsaham.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan dibuat anak guamnya itu dilakukan kerana mereka dijanjikan bahawa syarikat terbabit akan disenarai awamkan di Bursa Malaysia bermula 2023 atau 2024.

Disebabkan itu, Ainur berkata, kegagalan syarikat terbabit memberikan makluman berkenaan perkembangan terkini terhadap pelabur menyebabkan mereka mula meragui berkenaan status dana pelaburan yang dilakukan.

"Laporan kewangan beraudit syarikat juga tidak dikemukakan kepada pelabur sejak 2021," katanya.

Menurut Ainur, terdapat kira-kira 20 laporan dibuat kepada polis, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti oleh berkenaan perkara tersebut namun masih tiada sebarang tindakan dibuat.

CAPTION 1

Ainur (kiri) ketika sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, salah seorang pelabur yang hanya ingin dikenali sebagai Am berkata, dia sudah melabur sebanyak RM100,000 di syarikat TRW FC Berhad sejak 2022 tanpa mendapat sebarang pulangan.

Katanya, sebelum itu, jumlah pulangan dijanjikan adalah mencecah RM1 juta sekiranya syarikat tersebut disenaraikan awamkan.

"Saya antara terawal masuk (pelaburan) RM100,000 dan dijanjikan ROI (pulangan pelaburan) lebih kurang RM1 juta bila ia diapungkan di bursa saham, tapi kita tak nampak ke arah sana.

“Perjalanan duit tak nampak. Kita pernah tanya AGM dan bila laporan audit akan dibentangkan, tapi kita hanya diberikan beberapa tarikh (tapi) hingga sekarang (tidak ada laporan),” ujarnya.

Caption 2

Am ketika ditemui pemberita semasa hadir dalam sidang media yang diadakan pada Rabu

Dalam pada itu, Zamsaham ketika dihubungi Majoriti menafikan bahawa AGM bagi syarikat didakwa itu tidak dibuat sejak 2021.

"Berkenaan AGM, kita ada buat tiap tahun dari 2019, 2020 dan 2021 pun kita buat.

"Cuma tahun lepas kita tak buat sebab ada perubahan sikit bagi Tahun Kewangan Berakhir 2022.

"Jadi kita tukar daripada Mei kepada Disember tahun ini," ujarnya yang turut memaklumkan permohonan penangguhan itu sudah diluluskan SSM.

Jelas Norizam, langkah penangguhan itu adalah perkara biasa dan notis panggilan AGM akan dibuat dalam tempoh 21 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram