PENIAGA kedai makan di blok A, PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor terpaksa beroperasi dalam keadaan berdepan risiko tinggi apabila kemudahan perniagaan disediakan tidak memiliki ciri keselamatan yang sepatutnya.
Sharudin Mohamed, 63, yang sudah berniaga di bawah blok tersebut sejak 10 tahun lalu berkata, kedai makannya yang dibuka di bawah blok tersebut hanya menggunakan khemah sementara di ruang hadapan premisnya bagi dijadikan sebagai tempat menjamu selera buat pelanggan.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah penghuni blok pangsapuri 16 tingkat itu membuang sampah dari tingkat atas ke bawah sehingga jatuh di depan kedainya.
"Kalau kita cerita kadang orang tak percaya. Tapi dekat kedai makan saya ni, pernah tiga kali lampin wanita. Kalau bersih tak digunakan ok lagi, tapi ni masih ada darah lagi," katanya ketika ditemui Majoriti.
Jelasnya, antara jenis sampah lain yang biasa dibuang atau terjatuh dari tingkat atas kedai makannya adalah cawan besi atau kole, lampin kanak-kanak, telefon bimbit dan termasuk cermin tingkap nako.
Shaharudin menunjukkan kanvas yang digunakan sebagai khemah di ruang hadapan kedai makannya. Kesan lubang pada kanvas tersebut dibuat bagi mengelakkannya daripada diterbangkan angin kuat.
Meskipun masih belum berlaku kes melibatkan kecederaan, Sharudin berkata, perkara itu tidak seharusnya tidak diambil mudah kerana malang tidak berbau.
"Yang kes cedera itu tidak pernah lagi berlaku. Alhamdulillah, Tuhan masih selamatkan. Tapi macam saya sendiri, pernah sekali nyaris terkena cermin yang jatuh dari tingkat atas.
"Waktu itu saya hanya diselamatkan sebab baru lepas bangun nak betulkan TV. Betul-betul lepas saya bangun bergerak masuk ke dalam kedai, cermin pun jatuh.
"Kemudian ada juga dua kes di mana cermin jatuh betul-betul lepas orang yang lalu itu masuk ke dalam bangunan. Kalau tengok pada cermin pada waktu itu, memang tak panjang umur la jika kena. Boleh terpacak (cermin) atas kepala," ujarnya.
Zink penghadang yang dipasang dipercayai bagi membantu kerja-kerja pemasangan bumbung di hadapan kedai yang berada di bawah blok A, PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam, Selangor.
Sharudin berkata, meskipun sudah memasang khemah sementara, ia dilihat tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan pelanggannya.
Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan khemah juga agak tidak sesuai kerana ia sering kali dirosakkan oleh angin kuat yang selalu berlaku di kawasan tersebut.
Katanya, dia kini juga hanya menggunakan dua khemah kecil yang sudah uzur di hadapan tapak kedainya bagi menyediakan ruang makan kepada pelanggan.
"Mula-mula saya meniaga ada ada sembilan kanopi, payung besar yang bulat itu ada 10. Tapi bila pasang, kanopi selalu roboh sebab ditiup angin. Khemah sementara yang digunakan ketika ini sahaja dah tiga kali tukar," katanya yang menyewa unit kedai tersebut secara bulanan daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
Menurutnya, difahamkan terdapat perancangan daripada LPHS untuk memasang bumbung bagi kesemua kedai di bawah blok tersebut bermula pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Shaharudin berkata, projek yang dijangka siap pada penghujung Mei lalu masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan dengan pihak kontraktor hanya memasang zink bagi menutup kawasan dipercayai terlibat dengan pembinaan bumbung terbabit.
Azizan menunjukkan kanvas biru yang terpaksa dipasang sendiri di pagar bagi mengelakkan kedai runcitnya daripada dimasuki air ketika hujan.
Dalam pada itu, peniaga kedai runcit di bawah blok sama, Azizan Awang, 49 berkata, pihak terbabit sepatutnya menyediakan kemudahan yang lebih baik bukan sahaja bagi memastikan keselamatan tetapi juga kemajuan perniagaan penyewa.
"Kesian macam ni kalau orang nak meniaga, macam mana orang PPR nak maju? Kenalah buat elok-elok. Baru orang nak datang ke kedai kita beli.
"Tapi kalau keadaan kedai macam ni, orang luar nak datang makan pun ragu-ragu. Sedangkan dekat sini banyak kilang-kilang yang ada pekerja mereka yang memang perlukan tempat untuk makan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram