'Kalau tak boleh sembuh, dapat tengok dia hari-hari pun dah Alhamdulillah'


  • Massa
  • Isnin, 17 Jul 2023

Disebabkan maslah kesihatan yang dialami oleh Anwareel, Saipol perlu sentiasa mendukung anaknya itu jika hendak pergi ke mana-mana.

KASIH seorang bapa kepada anak ada kalanya tidak dapat diukur dengan harta mahupun wang ringgit.

Ungkapan itu tepat menggambarkan pengorbanan Saipol Nizam Ali Piah, 47, yang tetap cekal menjaga anaknya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) sejak 12 tahun lalu.

Meskipun Anwareel Madyna dilahirkan sebagai bayi normal, ketentuan takdir mempunyai jalan yang berbeza untuk dirinya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu yang kini berusia 14 tahun disahkan mengalami gegaran otak dan masalah saraf tulang belakang seawal usia dua tahun dipercayai akibat terjatuh ketika berada di bawah jagaan pengasuh.

Selepas daripada peristiwa tersebut, dia tidak lagi dapat membesar sama seperti kanak-kanak biasa.

Kongsi Saipol, anak perempuannya itu perlu sentiasa dijaga 24 jam sehari kerana dia boleh diserang sawan mahupun kekejangan otot pada bila-bila masa sahaja.

Saipol (kiri) bersama Anwareel ketika menunggu ahli keluarganya membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Saipol (kiri) bersama Anwareel ketika menunggu ahli keluarganya membeli barangan keperluan di sebuah pasar raya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Disebabkan situasi itu, Saipol yang pernah bertugas sebagai pemandu lori sekitar tahun 2011 terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menjaga anaknya itu.

"Dia nak berjalan pun tak boleh. Kalau berdiri pun jatuh. Jadi sentiasa kena kena dukung. Nak makan dan minum pun kita kena bantu. Maknanya 24 jam kita kena tengok dia," katanya kini menetap bersama isteri dan kesemua anaknya di Kampung Bukit Kapar, Kapar Selangor ketika ditemui Majoriti.

Menurut Saipol, oleh kerana keadaan tersebut, dia akan sentiasa membawa Anwareel ke mana-mana sahaja termasuk ketika menghantar abang dan kakaknya ke sekolah.

Pada waktu ini, Saipol berkata, Anwareel akan dibawa ibunya untuk menjalani rawatan terapi di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Puncak Alam, Selangor sebanyak dua kali sebulan.

Selain itu, dia yang juga berasal dari Puchong itu memberitahu anaknya akan turut dibawa untuk berurut seminggu sekali.

"Kalau saya tengok mata dia dah mula macam naik warna biru, saya akan bawa dia untuk pergi berurut. Sebabnya kalau tidak dia akan cepat meragam dan hanya terlantar tak bergerak atas katil.

"Bila jadi macam itu kita risau dia akan lebih mudah diserang sawan dan mengalami kekejangan," ujarnya yang turut memaklumkan anaknya itu tidak dapat bersekolah kerana masalah kesihatan yang dialaminya.

Menceritakan rutin hariannya bersama Anwareel, Saipol berkata, dia akan memulakan hari dengan memandikan anaknya itu sebelum membiarkannya menonton kartun kegemaran iaitu siri Upin dan Ipin.

Jelasnya, anaknya itu kemudian akan kembali tidur sekitar tengah hari sebelum bangun semula pada waktu petang.

"Kalau dia nangis, saya akan bawa dia jalan naik motor pusing bagi dia rasa kena angin. Dia pun nak rasa berkawan dengan orang luar," ujarnya.

Saipol (kiri) melayani Anwareel yang sedang bermain kerusi muzik berirama di sebuah pasar raya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Saipol (kiri) melayani Anwareel yang sedang bermain kerusi muzik berirama di sebuah pasar raya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Bapa itu mengakui dia masih menyimpan hasrat untuk melihat anaknya kembali sihat dan menjalani rutin harian sama seperti insan normal lain.

"Kalau boleh memang saya berharap jika ada siapa-siapa yang boleh bantu tengokkan keadaan tulang dia. Saya pun ada keinginan nak tengok dia boleh balik ke, Kalau ada rezeki mungkin dia boleh jadi macam orang lain yang sihat.

"Tapi kalau tidak ada rezeki, selagi saya dapat tengok dia ni pun Alhamdulillah. Saya akan terus jaga dia, doakan dia panjang umur. Itu sahaja yang saya buat bagi habiskan sisa hidup saya," katanya.

Dalam pada itu, Saipol mengakui keluarganya menghadapi kekangan daripada segi perbelanjaan selepas hanya bergantung kepada isterinya yang bekerja sebagai guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebuah sekolah di Meru Klang, Selangor.

Jelasnya, anak lelakinya yang berusia 22 tahun juga kini masih tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk membantu menyara keluarganya.

Bagaimanapun, Saipol berkata, dia bersyukur kerana turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kira-kira RM300 daripada Lembaga Zakat Selangor bagi membeli barangan keperluan Anwareel.

Dua lagi anak Saifol masing-masing masih belajar dengan salah seorang daripadanya yang juga anak perempuan berusia 20 tahun kini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala seorang lagi anak lelakinya masih berada di tingkatan empat sekolah menengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram