[VIDEO] Terima 2 laporan, polis sahkan video tular jiran bergaduh di Tampoi


  • Tular
  • Isnin, 17 Jul 2023

Tangkap layar video tular mengenai insiden pergaduhan tersebut yang dipercayai berlaku di sebuah apartment di Tampoi, Johor.

SATU pergaduhan antara dua jiran tercetus selepas salah seorang daripadanya difahamkan membuat bising sehingga menimbulkan ketidaksenangan penghuni lain.

Video tular mengenai insiden tersebut yang tular sejak Ahad itu dipercayai berlaku di sebuah apartment di Tampoi, Johor.

Menerusi klip berdurasi dua minit 18 saat itu, seorang individu lelaki dilihat sedang mengamuk dan berada di hadapan pagar sebuah unit rumah di bangunan tersebut dengan menjerit kepada beberapa orang penghuni di dalam rumah tersebut.

Lelaki tersebut yang turut memegang kayu besbol itu turut ditemani seorang wanita yang dipercayai merupakan ahli keluarganya.

Individu tersebut juga didapati memukul pagar dengan kayu tersebut dan membuat ancaman sambil turut merosakkan rak tempat meletak kasut yang diletakkan di luar unit kediaman itu.

Pada masa sama, beberapa penghuni yang berada di dalam rumah tersebut dilihat turut berang dengan tindakan lelaki tersebut.

Bagaimanapun, mereka pada awalnya terus kekal berada di dalam rumah sebelum salah seorang daripadanya bertindak keluar dan bertumbuk dengan lelaki terbabit.

Menerusi video berkenaan, beberapa orang jiran didapati cuba menenangkan kedua-dua pihak terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, semakan mendapati kes itu mempunyai kaitan dengan dua laporan yang diterima daripada individu terlibat, dalam kejadian Jumaat lepas.

"Keterangan daripada pihak terlibat dan saksi bebas yang merupakan penduduk di pangsapuri itu diambil dan punca pergaduhan masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 160 KK dan Seksyen 427 KK.

"Kita menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Shazril Salim di talian 016-3425316," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

jiran, mengamuk, Tampoi, tular, kayu besbol, serang