[VIDEO] Tiga kontra yang mungkin diterima PAS ekoran kenyataan Sanusi


  • Politik
  • Ahad, 16 Jul 2023

Kenyataan Sanusi telah mengundang protes daripada pelbagai pihak.

NAMA Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini. Setiap langkah dan kata-katanya kini seolah-olah sentiasa diperhatikan.

Bermula daripada isu pemilikan Pulau Pinang, banglo mewah milik abangnya sehinggalah menyentuh ke isu 3R iaitu merujuk pada kaum, agama dan institusi raja.

Tidak dinafikan, isu-isu berkaitan 3R kerap dimainkan terutama apabila semakin menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN).

Baru-baru ini kecoh apabila beliau didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besarnya.

Sanusi membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah iaitu merujuk kepada dirinya sendiri dengan Selangor dan mengaitkan proses pemilihan tersebut dengan pihak istana bagi kedua-dua negeri.

Malah, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dengan lantang melabel Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai ahli politik 'cokia'.

Kenyataan itu mengundang protes pelbagai pihak dan difahamkan lebih 30 laporan polis dibuat ke atas beliau.

Sekiranya beliau berterusan 'diserang', tidak mustahil dirinya dan juga parti yang diwakilinya akan terjejas dalam menghadapi PRN tidak lama lagi.

Berikut Majoriti senaraikan tiga kontra yang mungkin diterima PAS ekoran kenyataan yang dikeluarkan Sanusi:

1. PAS bakal kehilangan sokongan daripada rakyat Selangor

Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor.

Kenyataan Sanusi yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terus menjadi perdebatan rakyat Malaysia termasuk dalam kalangan orang bukan politik.

Tindakannya itu mencetuskan keresahan dan kemarahan dalam kalangan rakyat khususnya di Selangor.

Keadaan tersebut berisiko menjejaskan persepsi rakyat terhadap calon yang bakal bertanding atas tiket PAS hingga berkemungkinan menyebabkan parti Islam itu bakal kehilangan sokongan daripada rakyat Selangor.

Lebih memburukkan keadaan, tidak hanya PAS, situasi tersebut juga dilihat berupaya menjejaskan dukungan pengundi terhadap parti gabungan lain dalam Perikatan Nasional (PN).

2. Kenyataan tersebut akan dijadikan modal politik parti lawan

Ahmad Zahid pernah menyifatkan Menteri Besar Kedah itu sebagai pelawak politik.

Umum mengetahui, Sanusi merupakan antara pemimpin tertinggi dalam PAS dan terkenal dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Dengan pelbagai isu yang dilihat semakin menghimpit beliau, ia dikhuatiri akan merendahkan prestasi, martabat, kredibiliti dan kebolehpercayaan rakyat terhadap pemimpin daripada parti tersebut untuk memimpin negara.

Apatah lagi, dalam PRN akan datang, pastinya parti lawan akan sentiasa mencari topik hangat untuk digunakan bagi 'membahan' lawannya.

Misalnya, ketika ini, Sanusi dilihat kerap bertikam lidah dengan beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sendiri pernah menyifatkan Menteri Besar Kedah itu sebagai pelawak politik yang mempunyai ramai pengikut.

Malah, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri tersebut juga secara sinis meminta agar Muhammad Sanusi melakukan taubat nasuha selepas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandai-mandai dan menggunakan titah Agong untuk tubuhkan Kerajaan Perpaduan.

3. Hubungan pemimpin parti PAS dengan Sultan akan tergugat

Kenyataan dibuat Sanusi sedikit sebanyak telah mencalarkan reputasi PAS di mata pihak istana.

Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab untuk kita memelihara dan menghormati Institusi Agong dan Raja-Raja Melayu, apatah lagi ia juga termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun begitu, tindakan Muhammad Sanusi yang seolah-olah menghina institusi tradisional itu dipercayai akan menggugat hubungan antara pemimpin PAS dengan Sultan.

Meskipun beliau pada Jumaat telah mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor berhubung kenyataan yang dibuatnya, ia sebenarnya sedikit sebanyak telah mencalarkan reputasi parti itu di mata pihak istana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram