POLIS memulakan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana menyentuh isu melibatkan kaum, agama dan raja (3R).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dijalankan Pasukan Petugas 3R Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Kami akan menjalankan siasatan dengan pantas dan merujuknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam video tular di media sosial, Muhammad Sanusi dilihat memperkecilkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Razarudin berkata, sejak 27 Mac lalu, sebanyak 61 kertas siasatan telah dibuka berhubung isu 3R termasuk kes membabitkan Muhammad Sanusi.
“Pasukan petugas kami juga membuka siasatan terhadap beberapa ahli politik dan bekas ahli politik lain kerana menyentuh isu 3R.
"Selain Muhammad Sanusi, kami juga membuka siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang," katanya sambil menambah pasukan petugas yang menyiasat kes itu terdiri daripada 21 anggota polis.
Razarudin berkata, polis mendapati lebih banyak isu menyentuh kaum, agama dan raja kini dibangkitkan ketika pilihan raya negeri semakin hampir.
“Kami ingin menasihatkan rakyat agar tidak menyentuh isu sensitif sebegini yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya. — The Star/Austin Camoens
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram