Selain HTAR, polis turut siasat penjaga adik Dea Maisarah


  • 112
  • Sabtu, 15 Jul 2023

Mayat arwah Dea Maisarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh Klang pada 11 Julai lalu. — Buletin TV3

POLIS akan menjalankan siasatan ke atas pihak hospital dan penjaga berhubung kes kematian kanak-kanak berusia 10 tahun, Dea Maisarah Bada yang dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang pada Ahad lalu.

Memetik laporan Buletin TV3 pada Sabtu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, siasatan masih di peringkat awal dan ada banyak yang perlu dilakukan pihaknya termasuk mendapatkan laporan bedah siasat.

Menurutnya, siasatan dijalankan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, ekoran laporan polis yang dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

Kertas siasatan laporan kematian mengejut (SDR) itu ujarnya dibuka di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan," katanya.

Dea Maisarah didakwa lewat diberi rawatan hingga menyebabkan dia meninggal dunia di HTAR. — Agensi

Majoriti sebelum ini melaporkan, kanak-kanak berkenaan hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada Ahad lalu.

Kes kematian kanak-kanak itu tular di media sosial termasuk dakwaan kanak-kanak terbabit lewat diberi rawatan dengan terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum mengalami sesak nafas dan terpaksa diikat kerana meronta.

Pihak hospital juga didakwa membuat laporan palsu berhubung kematian kanak-kanak itu dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut meluahkan rasa simpati atas kejadian yang menimpa kanak-kanak terbabit.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dea Maisarah.

“Bersama-sama kita doakan roh Allahyarhamah aman dan berada dalam lindungan Yang Maha Esa dan semoga keluarga tabah menghadapi ujian berat ini,” katanya.

Dr Zaliha turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Dea Maisarah.

Dr Zaliha turut memohon kerjasama semua agar semua pihak menghormati privasi keluarga, selain menegaskan bahawa kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi dalam kenyataannya menjelaskan ketika mendapatkan rawatan, kanak-kanak itu dalam keadaan lemah dan telah diberikan rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Kecemasan, namun tidak dapat diselamatkan.

Tambahnya, punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram