POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak membunuh dengan membakar isterinya ekoran berang dituduh mengambil dadah di Kampung Bharu, Manjung, Ipoh, Perak pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada adik suspek sendiri, memaklumkan bahawa suspek yang berumur 28 tahun itu telah bertindak membakar isterinya yang berumur 33 tahun di dalam sebuah rumah selepas berlaku perselisihan faham.
Beliau berkata, perselisihan faham dipercayai berlaku apabila wanita itu dan keluarganya menuduh suspek mengambil dadah.
"Wanita itu dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia hari ini (Rabu) oleh pihak hospital," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Justeru katanya, suspek ditahan pada pukul 11 malam, Selasa ketika berada di sebuah restoran di Lumut, dan polis telah mendapat kebenaran daripada Mahkamah Majistret Manjung untuk menahan reman suspek selama seminggu bagi membantu siasatan.
Tambah Mohamed Nordin, bedah siasat akan dilakukan pada Khamis bagi mengenal pasti punca kematian dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram