TULAR di media sosial aksi seorang penunggang motosikal yang cuba lari daripada polis trafik menerima padah apabila dia merempuh sebuah kenderaan lain ketika membuat pusingan U.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di Twitter @nanmanjoi8715, kelihatan motosikal itu ditunggang secara laju di laluan kanan untuk memotong sebuah teksi.
Selepas melepasi sebuah selekoh, motosikal itu yang jauh kelihatan berada di depan tiba-tiba dilihat memperlahankan kenderaannya apabila mendapati terdapat seorang polis trafik menunggu di lokasi berkenaan.
Tangkap layar rakaman dashcam menunjukkan penunggang itu terpelanting di atas jalan. — Twitter
Dia kemudiannya secara mengejut membuat pusingan U sebelum merempuh kereta yang kebetulan melalui lorong kanan jalan berkenaan.
Disebabkan pelanggaran itu, penunggang motosikal tersebut terpelanting daripada kenderaan dan jatuh terduduk di atas jalan raya.
Polis trafik yang berada di situ kemudian menghampirinya sebelum mengheret penunggang motosikal itu ke tepi jalan.
Berdasarkan ciapan di Twitter @mynewshub, penunggang motosikal itu dipercayai mahu lari daripada polis kerana memiliki dua kesalahan trafik.
"Menurut saksi, rider cuba lari sebab cukai jalan dan insurans tamat tempoh.
"Takut kena saman punya hal. Terus U-turn tanpa fikir panjang dan seterusnya melanggar kereta yang ada dashcam," demikian menurut ciapan berkenaan.
Seorang penunggang motosikal bertindak menunggang melawan arus ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya sebelum merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Subang Perdana, kelmarin.
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar turut mengesahkan bahawa penunggang motosikal bertindak demikian kerana takut cukai jalan dan insurans motosikal sudah tamat tempoh.
Menurutnya, kejadian pada 6.17 petang itu menyebabkan penunggang terbabit cedera ringan.
“Kedua-dua pemilik kenderaan sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram