Bengang soalan jarang dijawab, ibu bapa biadab sindir cikgu jangan denda anak jika 'homework' tak siap


  • Tular
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Tangkap layar mesej dalam sebuah kumpulan WhatsApp memaparkan pergaduhan antara ibu bapa dengan guru.

SEGELINTIR ibu bapa dilihat sukar memahami ruang lingkup kerja seorang guru, malah turut mengganggu mereka di luar waktu bekerja untuk bertanya soalan yang remeh.

Tular satu mesej dalam sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp di media sosial memaparkan pertelingkahan antara ibu bapa dengan seorang guru yang bertanyakan tentang ketiadaan buku latihan anaknya.

Tangkap layar perbualan tersebut memaparkan guru terbabit meminta individu terbabit untuk menghormati masa rehatnya kerana mesej dihantar pada pukul 9.43 malam, selain didakwa sibuk dengan tugasan lain.

Bagaimanapun, ibu bapa tersebut terus mengasak guru berkenaan kerana dia mendakwa soalannya jarang dijawab oleh cikgu tersebut sebelum ini.

"Saya check buku anak saya tiada, sebab nak tampal kerja yang cikgu bagi. Baiklah kalau rasa tanya macam itu salah.

"Saya malas nak panjangkan cerita di sini. Nanti saya tidak mahu dengar anak saya kena marah atau didenda sebab buku tiada padanya," kata ibu bapa tersebut dalam kumpulan WhatsApp itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berasa kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu bapa tersebut dan meminta guru berkenaan menghadkan perbualan daripada ibu bapa murid dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

"Patutnya group WhatsApp ini mute sahaja and biar cikgu sahaja boleh mesej untuk apa-apa announcement atau related pasal sekolah.

"Kadang-kadang ada a few parent yang terlalu berlebih sangat bila dalam group WhatsApp," kata Muhammad Yusof.

"Hormati seorang guru yang memberi ilmu. Keberkatan ilmu itu penting untuk menjadikan anak modal insan yang terbaik.

"Ni masalah dia saja betul nih. Masih rasa tak salah walaupun menggunakan ayat tak beradab," kata Sarah Hasmir.

"Salah satu sebab kenapa anak anak semakin kurang ajar, tak ada adab dan hilang rasa hormat pada guru. Macam mana anak anak nak beradab kalau dididik oleh ibu bapa yang macam ni," kata Tati Mansur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram