[VIDEO] Selain Sanusi, 2 lagi pemimpin pernah terpalit isu banglo mewah


  • Politik
  • Khamis, 13 Jul 2023

Foto tular disertai imej Google Map yang cuba mengaitkan sebuah banglo mewah dengan Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa.

KECOH di media sosial apabila muncul satu foto lengkap disertai imej Google Map yang cuba mengaitkan sebuah banglo mewah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa.

Gambar berkenaan mendapat perhatian dan kritikan daripada banyak pihak, termasuk pemerhati dan ahli politik serta rakyat.

Tidak sampai 24 jam foto itu ditularkan, Muhammad Sanusi bagaimanapun tampil menjelaskan bahawa kediaman tersebut bukanlah kepunyaannya, sebaliknya ia dimiliki oleh abangnya.

Penafian itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Kedah.

Menurut kenyataan itu, foto sedang ditularkan oleh pemfitnah dan pendengki di serata media sosial itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

"Pemfitnah-pemfitnah ini bekerja keras menjelang Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) untuk mempengaruhi orang ramai percaya bahawa Menteri Besar Kedah kini hidup kaya raya hingga mampu membina rumah seperti itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut menegaskan, banglo yang terletak di Sik, Kedah itu adalah milik abangnya, yang bekerja sebagai penyelam dasar laut.

“Ia milik abang saya dan adakah kerana dia abang saya, dia tidak boleh bina rumah besar walaupun dia ada duit dan mampu untuk bina rumah seperti itu?" soalnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dan sedih apabila hasil titik peluh abangnya yang terpaksa meninggalkan isteri serta anak berbulan-bulan untuk bekerja, dipolitikkan individu tertentu.

Selain Muhammad Sanusi, berikut Majoriti senaraikan dua lagi pemimpin yang pernah terpalit dengan kontroversi banglo mewah hingga menjadi bualan rakyat.

1) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

Nama Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hangat diperkatakan orang ramai susulan tular video menunjukkan kediaman mewah ibarat 'istana' yang dikatakan milik bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu pada tahun 2021.

Video yang dirakam oleh seorang individu itu menunjukkan sebuah rumah besar bak istana di kawasan elit Bukit Damansara sedang dalam proses pengubahsuaian.

Perkongsian video itu menjadi topik perbualan banyak pihak, kerana ramai yang mempersoalkan bagaimana Tajuddin akan membayar kos pengubahsuaian rumah itu nanti, dan daripada mana datangnya wang tersebut.

Rumah mewah tersebut yang terletak di Jalan Setiarasa, Bukit Damansara merupakan alamat rumah Tajuddin sama dengan yang tertera dalam surat pemecatannya seperti yang dihantar oleh Menteri Kewangan.

Apatah lagi, ketika itu, beliau baru sahaja dipecat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) kerana bersikap tidak profesional ketika mengendalikan sidang media insiden kemalangan tren.

2) Lim Guan Eng

Selain dua individu tersebut, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga antara yang pernah terlibat dengan kontroversi pemilikan banglo mewah pada tahun 2018.

Mengikut laporan media tempatan, Guan Eng didakwa menggunakan kuasanya sebagai Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang pada ketika itu untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd pada 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa telah mendapatkan satu barang berharga untuk dirinya, dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Guan Eng).

Namun pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi membebaskan beliau dan Li Koon daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian lot tanah dan banglo tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram