Sanusi nafi minta Perlembagaan dipinda untuk kembalikan P. Pinang kepada Kedah


  • Politik
  • Rabu, 07 Jun 2023

Muhammad Sanusi mendakwa, kenyataan beliau disalah petik oleh portal berita yang kemudiannya digunakan bagi menuduhnya melanggar Perlembagaan Persekutuan.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan bahawa beliau membuat permintaan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Dalam sidang media pada Rabu, beliau berkata, kenyataannya sebelum ini hanya membabitkan tuntutan supaya bayaran pajakan dibuat Pulau Pinang kepada Kedah dinaikkan.

Muhammad Sanusi mendakwa, kenyataannya disalah petik oleh portal berita yang kemudiannya digunakan bagi menuduh beliau sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka mendakwa saya melanggar Perlembagaan tetapi macama mana permintaan untuk menaikkan kadar pajakan boleh sampai ke tahap ini?

“Perdebatan baru-baru ini mengenai kenyataan saya di Parlimen pada Selasa tidak sepatutnya berlaku kerana ia merujuk kepada petikan yang salah.

“Mereka memetik sebuah portal dan berkata saya berkeras untuk meminda Perlembagaan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, pegawai kerajaan sepatutnya menghubunginya untuk mengesahkan kenyataan tersebut sebelum membincangkannya di Parlimen.

Mengenai kemungkinan siasatan terhadap kenyataannya, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional PN) itu menambah, beliau mempunyai dokumen berkaitan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Semasa sidang media tersebut, Muhammad Sanusi turut menunjukkan satu daripada tiga surat dikatakan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan berkaitan isu berkenaan yang menurutnya masih belum mendapat jawapan balas.

Muhammad Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak mempunyai sempadan kerana Pulau Pinang masih menjadi milik Kedah.

Dakwa beliau lagi, Kedah hanya berkongsi sempadan dengan dua negeri iaitu Perak dan Perlis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram