[VIDEO] MB Selangor ‘sekolahkan’ Sanusi, ajar cara nak majukan Kedah


  • Politik
  • Ahad, 09 Jul 2023

Amirudin (kiri) membalas kenyataan Muhammad Sanusi (kanan) yang mendakwa kemajuan yang dikecapi Selangor bukan kerana kejayaan pemerintahan PH.

"BIAR saya tunjuk kamu cara untuk memajukan Kedah," kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Amirudin berkata demikian bagi membalas kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang mendakwa kemajuan yang dikecapi Selangor bukanlah kerana kejayaan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya hanya sekadar menumpang tuah dan kepesatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, Kedah juga terletak bersebelahan dengan Pulau Pinang.

“Menteri Besar Kedah tidak melihat cermin. Pulau Pinang hanya bersebelahan...dia tidak sepatutnya berfikiran begitu.

“Kuala Lumpur sebelum ini adalah sebahagian daripada Selangor,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran program Madani Afiat di Gombak, Selangor pada Ahad.

Amirudin menambah, Pulau Pinang berkembang dengan pelaburan besar dan juga menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

“Namun Kedah ketinggalan. Sepatutnya dia (Muhammad Sanusi) menyoal dirinya dahulu sebelum melihat ke tempat lain. 'Matanya besar' tetapi dia tidak berjaya melihat isu-isu yang perlu diselesaikan di tempatnya.

“Jangan risau, saya akan ke Kedah minggu depan dan akan terangkan kepadanya cara menjadikan Kedah seperti Selangor,” ujarnya.

Sementara itu, Amirudin turut menjawab dakwaan bahawa beliau bertindak biadap terhadap 'sifu' politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas pemimpin negeri serta parti, ketika saling berbalas kenyataan.

"Itu hanya pandangan peribadi daripada individu yang berkenaan (membuat dakwaan). Saya hormat apa jua pandangan daripada pelbagai pihak.

“Jangan lihat kenyataan saya sahaja, tetapi juga apa yang menyebabkannya (kenyataan awal yang dikeluarkan Mohamed Azmin).

"Hormat menghormati itu biasa, bukan hanya yang muda harus menghormati yang tua, tetapi yang tua juga perlu menghargai.

"Jika mereka tidak boleh bertindak balas dengan fakta, maka mereka mungkin melakukan serangan peribadi atau bersikap biadab," tambahnya. The Star/GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram