Video 'ALLAH hantar malaikat undi PAS' timbul semula, Nor Azariza anggap lawan kehabisan modal


  • Politik
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tangkap layar video lama ceramah Nor Azariza ketika PRU14.

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi, kesemua pihak yang bertanding dilihat mula rancak melancarkan perang persepsi terhadap lawan masing-masing.

Strategi itu dibuat termasuk dengan menyebarkan semula video atau bahan lama sebagai modal untuk mencipta imej buruk terhadap pihak lawan dan seterusnya mempengaruhi sentimen pengundi.

Baru-baru ini, tular satu video memaparkan ucapan seorang penceramah daripada PAS yang mendakwa parti itu mampu mendapat pertolongan daripada ALLAH melalui malaikat yang turun mengundi.

Bagaimanapun, klip tersebut ternyata merupakan rakaman ucapan lama disampaikan seorang pimpinan akar umbi PAS, Nor Azariza Mohd Alawi ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam ucapan tersebut, penceramah berkenaan berkata, malaikat boleh hadir dalam bentuk sebagai pengundi bagi membantu parti tersebut memperoleh kemenangan pada pilihan raya berkenaan.

Ketika dihubungi Majoriti, Nor Azariza berkata, beliau masih mempertahankan kenyataan dikeluarkannya itu ketika dia menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan.

Menurutnya, wujud silap faham terhadap pengisian ceramah disampaikannya sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat awam.

"Saya masih mempertahankan apa yang saya kata, orang yang tak setuju itu, biarlah dia tak setuju. Dan saya pun bukan kata benda tu berlaku, kena faham balik," ujarnya.

Menurut Nor Azariza, kisah itu disampaikan bagi menggambarkan kebesaran ALLAH yang boleh memberikan pertolongan dalam membantu hamba-Nya.

"Tuan Guru Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) dulu pun masa ada mengeluarkan kenyataan berkata, kemenangan PAS di Kelantan ini seolah-olah ada kerjasama antara malaikat di langit dan penduduk di bumi.

"Jadi maksud lebih kurang sama sahaja. cuma saya detailkan dalam bentuk cerita," ujarnya.

Beliau yang kini merupakan Timbalan Yang Dipertua (YDP) Pas Kota Bharu menyifatkan penularan video lama itu sebagai sebahagian strategi memburuk-burukkan PAS menjelang PRN yang bakal berlangsung pada 12 Ogos depan.

Jelasnya, langkah itu juga dilihat menggambarkan bahawa pihak lawan seakan-akan ketiadaan modal untuk berkempen.

"Orang yang menaikkan isu basi ini maknanya dia tidak ada modal baharu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram