
POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seekor anjing diseksa sehingga mati di Kampung Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tiga lelaki berusia 40 hingga 53 tahun itu ditahan antara pukul 11.45 malam Ahad hingga 1 pagi, Isnin di sekitar Batu Maung, hasil risikan dan intipan yang dijalankan.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka yang terdiri daripada ejen kargo, nelayan dan pemandu bas, direman sehingga 12 Julai bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
''Siasatan awal mendapati tiga lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan air kencing juga mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah,'' katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas Khaw, terdahulu polis telah mengesan satu video dan artikel berhubung kejadian yang dipercayai berlaku pada pukul 8.38 malam Jumaat lepas, yang menyaksikan seekor anjing dipukul hingga mati.
''Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu telah disaksikan seorang pengadu dan dia telah merakamkan insiden itu sebelum menghantar klip video berkenaan kepada rakannya di Petaling Jaya, dan ia menjadi tular menerusi akaun Twitter," katanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan, video kejadian yang berlaku pada pukul 8.38 malam itu dimuat naik menerusi satu ciapan di akaun Twitter milik @syhmiee memaparkan dua lelaki terbabit bertindak memukul anjing tersebut menggunakan batang kayu.
Menerusi ciapan tersebut, difahamkan anjing tersebut dilanggar motosikal berkenaan ketika ia melintas jalan di kawasan tersebut yang agak gelap dan suram. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram