KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan untuk memberikan kebenaran kepada parti politik bagi menubuhkan cawangan mereka di kampus universiti.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pelbagai pindaan sudah dilaksanakan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 termasuk dalam memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menjalankan kegiatan politik.
"Ia termasuk menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya. Jadi, semua itu sudah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara seperti dicadangkan Yang Berhormat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) berkenaan sama ada KPT bakal memberi kelonggaran untuk parti politik menubuhkan cawangan di kampus universiti bagi menyuburkan amalan demokrasi dan membudayakan politik matang selaras reformasi pendidikan.
Dewan Rakyat pada 2018 meluluskan pindaan AUKU membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.
Dalam pada itu, menjawab mengenai komitmen Kelvin Yii (PH-Kuching) berkenaan beberapa lagi kelemahan terdapat dalam AUKU yang masih berpotensi menyekat kebebasan pelajar, Mohamed Khaled memberi jaminan ia akan dipertimbangkan untuk dipinda.
Ia antaranya membabitkan Seksyen 15 B, C dan D dalam AUKU berkaitan penggantngan pelajar atas beberapa kesalahan; Seksyen 16 B yang menyentuh mengenai bidang kuasa pihak berkuasa tatatertib kepada pelajar dan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram