Panasnya cuaca sejukkan seterika dan hati ibu bapa


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jul 2023

KPM membenarkan pemakaian baju sukan ketika negara dilanda cuaca panas. — Bernama

PANAS rahmah.

Sebagai seorang bapa, itu ungkapan ringkas rasa bersyukur di sebalik keperitan cuaca panas ketika ini, sesuai juga dengan slogan kerajaan semasa sentiasa memberi rahmah untuk rakyat.

Rahmah atau bahasa Dewan dan Pustaka-nya – rahmat – membawa pengertian belas kasihan, tidak lari dengan makna dalam bahasa Arab bagi perkataan sama yang diertikan sebagai kasih sayang dan kurniaan.

Jadi kenapa penulis bersyukur dengan cuaca panas ketika ini sedangkan pasti yang ramai mengeluh melambungnya bil elektrik setiap bulan sebab kerap guna penghawa dingin.

Syukurnya penulis ini mungkin tidak setinggi peniaga air berasa lega dengan hasil jualan harian sepanjang musim panas ini.

Tapi syukur penulis ini sebagai seorang bapa kepada empat orang anak sudah memadai sebab banyak beban diringankan dek kerana cuaca panas.

Sebelum melebar panjang, penulis berterima kasih teramat sangat kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana peka dengan keadaan semasa dan memberi kebenaran kepada anak-anak untuk berpakaian sukan ke sekolah sepanjang musim panas ini.

KUALA TERENGGANU, 3 Mei -- Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan selepas Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan murid, guru dan anggota pelaksana di sekolah memakai pakaian atau baju sukan yang sopan susulan cuaca panas ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serada hari ini.Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Norisah Suhaili berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa cuaca panas dan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebahagian murid sekolah memakai pakaian sukan ketika sesi pembelajaran. — Bernama

Jadi apa syukurnya, mungkin ada yang tertanya-tanya.

Bagi penulis, penggunaan baju sukan sebagai uniform sementara ini sebenarnya amat melegakan golongan ibu bapa dari banyak sudut.

Pertamanya, ibu bapa dapat merasai betapa leganya tidak perlu menggosok uniform anak-anak pada setiap pagi, malam atau hujung minggu, yang kadang kala memakan masa berejam-jam untuk siapkan pakaian mereka bagi tempoh lima hari persekolahan.

Pengalaman penulis sendiri yang secara sukarela meringankan beban si isteri, mengetahui betapa tertekannya menyiapkan uniform dua orang anak sekolah rendah yang perlu pakai dua uniform berbeza bagi sesi pagi dan petang.

Secara kasarnya, penulis perlu menggosok empat pasang atau lapan helai pakaian uniform anak-anak setiap hari dan kiralah sendiri jumlahnya seminggu.

20 pasang atau 40 helai semuanya (tidak termasuk tudung dan vest pengawas).

Itu baru dua orang anak. Bagaimana dengan mereka yang mempunyai ramai anak?

Dalam kes ini, penulis merujuk kepada anak yang masih bersekolah rendah, yang mana mereka belum lagi boleh diletakkan kepercayaan untuk menggunakan seterika.

Jadi perasaannya apabila anak-anak hanya perlu memakai baju sukan ke sekolah amat melegakan penulis, dan harapnya pandangan ini dipersetujui ramai ibu bapa.

Gosok Baju

Secara purata, ibu bapa meluangkan masa 5 hingga 10 minit untuk menggosok sepasang uniform sekolah. — Agensi

Syukur yang keduanya, jimat elektrik.

Mungkin ada yang berpendapat, berapa sen sangat jimat elektrik jika tidak gosok 20 pasang atau 40 helai pakaian seminggu atau sengaja diperbesarkan jumlahnya 160 helai pakaian sebulan?

Di sini cukuplah penulis mengingatkan kisah 20 sen peniaga nasi lemak yang pernah viral satu ketika dulu apabila kerajaan menguatkuasakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Bahasa mudahnya, ada ibu bapa atau insan yang tetap akan bersyukur jika ada peluang untuk berjimat walaupun kecil jumlahnya.

Ketiga, sejuk mata memandang.

Tidak perlu bincangkan lagi betapa sakitnya hati si ibu tiap kali melihat baju anak yang serba putih penuh dengan kotoran.

Itu belum kira lagi sakitnya tangan berulang kali menyental baju untuk buang kotoran pada uniform sekolah anak-anak.

Mana tidaknya, kotoran pada uniform putih tidak senang hilang jika dibasuh menggunakan mesin basuh.

Penyudahnya, sama ada si ibu akan beli baru atau guna saja baju yang terpalit kotoran kerana berjimat.

Jika beli baru, kos lagi. Jika pakai saja, mata yang sakit.

Tapi dengan baju sukan, lebih-lebih lagi kualiti mikrofiber dan warna yang lebih gelap, tidak timbul lagi dua isu tersebut.

Hati dan mata ibu lebih tenang, telinga si bapa juga senang tak perlu dengar bebelan terhadap anak.

Baju sekolah

Senyuman comel anak belum tentu dapat redakan kemaharan ibu jika melihat uniform anak mereka terpalit kotoran degil. — Agensi

Bagi mengukuhkan pandang marhaen ini, penulis bersekesempatan menjalankan tinjauan ringkas dalam kalangan 100 responden untuk melihat respons ibu bapa tentang pemakaian baju sukan ini ketika berlangsungnya mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah rendah di Hulu Selangor baru-baru ini

Daripada jumlah itu, 50 peratus atau 50 ibu dan bapa mempunyai seorang anak bersekolah rendah manakala 40 peratus (40 ibu bapa) mempunyai dua orang anak bersekolah rendah dan 10 peratus (10 ibu bapa) ada tiga orang anak yang masih bersekolah.

Bagi jumlah sesi persekolahan pula, 80 peratus ibu bapa menghantar anak mereka bersekolah sesi pagi dan petang iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama.

Golongan ibu pula paling ramai menjalankan tugas untuk menggosok uniform sekolah anak-anak dengan jumlah 85 peratus disusuli bapa (14 peratus) dan pembantu rumah (1 peratus).

Untuk tempoh menggosok uniform pula, secara puratanya ibu bapa meluangkan masa antara 5 hingga 10 minit bagi setiap pasang uniform anak-anak mereka.

Sebanyak 95 peratus responden bersetuju bahawa penggunaan baju sukan sepanjang tempoh musim panas ini meringankan beban mereka sebagai ibu bapa kerana tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk menggosok baju dan menjimatkan masa.

Menjawab tentang cadangan buat kerajaan untuk menukar uniform sekolah kepada pakaian yang lebih selesa dan mesra cuaca, hampir 78 peratus responden bersetuju agar langkah itu diperkenalkan.

Hanya 4 peratus responden tidak bersetuju dan selebihnya tidak pasti.

Tinjauan

Hasil tinjauan dalam kalangan 100 responden di sebuah sekolah baru-baru ini.

Jadi kesimpulannya, tidak salah untuk kerajaan terutamanya pihak KPM mengambil langkah berani untuk memperkenalkan uniform baharu yang 'lebih mesra' murid dan ibu bapa.

Lihat saja bagaimana kesannya apabila mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memekakkan telinga untuk melaksanakan pemakaian stokin hitam yang akhirnya diterima baik semua pihak.

Nampak usaha itu kecil tapi impaknya amat besar, lagi-lagi buat golongan ibu bapa.

Bagi penulis, penukaran uniform kepada pakaian yang lebih santai seperti baju sukan tidak akan timbulkan isu disiplin atau terhakisnya jati diri selagi pakaian yang digunakan seragam dan sopan.

Malah dalam keadaan ekonomi yang serba menekan ini, adalah baiknya diringkankan beban dan tekanan ibu bapa yang perlu memikirkan soal kos sara hidup dan hal-hal lain lebih penting berbanding kusutnya otak untuk menggosok baju anak setiap hari.

Sekadar pandangan seorang bapa yang cuba meringankan beban si isteri. Wallahualam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram