GARIS panduan pemakaian kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) ditentukan melalui perbincangan muzakarah bersama golongan agamawan sejak penghujung tahun 1980-an lagi.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Nor Hayati Abd Rashid berkata, malah revolusi pakaian jururawat di bawah kementerian juga telah berubah dan lebih menepati syariah.
Menurutnya, penetapan kod pakaian jururawat yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dilaksanakan berdasarkan garis panduan dan konsultasi yang ketat, sebelum diluluskan.
“Mana boleh KKM keluarkan panduan pemakaian tanpa ada perbincangan. Ini adalah negara Islam. Mesti sudah ada perbincangan dengan pihak tertentu.
“Sebelum tahun 80-an kita pakai skirt tapi atas kesedaran beragama, kita pun dah nampak (pakaian) ini tidak patuh syariah, kita kemudian tukar kepada seluar.
“Kalau betul ada yang cakap pakaian kami terlalu ketat, pasti sukar untuk kita buat kerja dengan baik sebabnya kita akan sentiasa bergerak, mengangkat pesakit, squat down ambil barang dan sebagainya, mana boleh pakai baju ketat,” katanya kepada Majoriti pada Jumaat.
Nor Hayati menyifatkan persoalan yang dikemukan oleh Wan Razali akan melukakan hati kebanyakan jururawat di Malaysia.
Ujarnya, ketua jururawat atau penyelia jururawat akan berperanan untuk memastikan setiap kakitangan mereka memakai uniform mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Kedua-duanya akan pantau pakaian kita dari hujung rambut sampai hujung kaki.
“Mana boleh pakai ketat sangat, tak boleh buat kerja kalau macam itu. Anda melukakan kami, bagi saya sangat tidak adil apabila bercakap macam tu,” tambahnya.
Dia berkata demikian bagi mengulas mengenai isu pakaian jururawat wanita di fasiliti kesihatan awam yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
Wan Razali turut meminta KKM mengambil contoh beberapa hospital lain yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita mereka untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
"Contohnya Hospital USM Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan, tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika yang lebih baik buat pekerja,” katanya.
Sementara itu, Nor Hayati menjelaskan, garis panduan itu terpulang kepada institusi berkenaan, tetapi tidak boleh disamakan dengan penjawat awam di bawah KKM.
“Bayangkan ada berapa puluh ribu jururawat di Malaysia yang bekerja di hospital? Mereka semua berada di bawah majikan yang sama iaitu KKM, mana boleh setiap hospital lain-lain baju mereka.
“Kita bercakap kena logik. Bukannya hanya sebab anda nak kritik pihak lain, tapi dalam masa yang sama anda melukakan hati kami. Saya rasa tersinggung. Saya dah buat kerja ni berpuluh-puluh tahun dan tiada siapa terkoyak baju ketika bekerja,” luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram