'Saya tidak akan undur dari pentas politik', Tian Chua masih simpan hasrat kembali ke Parlimen


  • Politik
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tian Chua (berkot hitam) bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Batu pada PRU15.

BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyatakan beliau tidak akan berundur daripada arena politik negara meskipun sudah dipecat daripada partinya pada Januari lalu.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu turut tidak menolak kemungkinan untuk kembali bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Tian Chua berkata, buat masa ini, beliau akan menumpukan perhatian terhadap usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi melalui kerja-kerja yang dilakukan sebagai penggiat badan bukan kerajaan (NGO) dan aktiviti masyarakat.

"Sekiranya ada peluang, saya harap boleh kembali ke Parlimen," katanya kepada Majoriti ketika ditanya mengenai perancangannya untuk bertanding semula pada PRU akan datang.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding bersama secara bebas atau bersama mana-mana parti, Tian Chua berkata adalah masih terlalu awal untuk memutuskan mengenai perkara tersebut.

"Saya rasa masih awal untuk bincangkan apakah kedudukan saya (bertanding bersama parti atau tidak). Tapi saya memang harap saya boleh beri sumbangan dari segi dasar dan perbahasan dalam Parlimen," katanya.

Menurutnya, pada waktu ini, beliau masih menunggu mengenai status rayuan rasmi berhubung pemecatannya daripada parti dan menyerahkan sepenuhnya kepada PKR untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

WhatsApp Image 2023-07-07 at 8.33.31 PM

Tian Chua mahu fokus terhadap usaha membantu rakyat di peringkat akar umbi melalui kerja yang dilakukan sebagai penggiat NGO dan aktiviti masyarakat.

Pada masa sama, Tian Chua menegaskan bahawa meskipun dirinya kini tidak lagi bersama mana-mana parti, beliau tetap tidak mengubah pendirian yang dipegangnya sejak awal penyertaannya dalam politik.

"Saya adalah pengasas PKR dan saya tetap mempunyai nilai yang dipegang sejak kita bermula. Saya tidak berubah, dari segi politik meskipun saya tidak mempunyai parti sekarang.

"Itu bukan bermaksud saya tidak ada pendirian politik. Saya akan tetap berjuang dalam idealisme yang sama," jelasnya.

Tian Chua dipecat daripada PKR pada Januari lalu selepas beliau mengambil keputusan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai calon bebas di Parlimen Batu untuk menentang calon Pakatan Harapan (PH). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram