TRAGEDI kepala air yang menghanyutkan 10 sekeluarga di Jeram Mawar, Chukai, Terengganu pada Sabtu ternyata menggegarkan tanah air dan mendapat perhatian ramai pihak.
Ketika ini, pihak polis mengesahkan hanya empat mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Chukai, Kemaman, Terengganu ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin.
Insiden tersebut nyata memberi tamparan besar kepada keluarga mangsa, namun mereka reda dengan pemergian ahli keluarga dalam keadaan yang menyayat hati itu.
Namun selain daripada kejadian terbabit, terdapat empat kes serupa melibatkan kepala air yang pernah berlaku di negara satu masa dahulu:
Tragedi kepala air di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor (2018)
Kes maut melibatkan seorang pelajar kolej lemas selepas dihanyutkan oleh kepala air ketika mandi bersama empat rakannya di tempat rekreasi popular itu.
Lebih mengejutkan, insiden maut itu merupakan yang pertama berlaku di lokasi tersebut.
Kejadian maut di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor pada 2018 adalah yang pertama pernah direkodkan.
Kes kepala air Tawau, Sabah (2017)
Kali ini kes melibatkan seorang wanita maut manakala suami dan anaknya terselamat selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka dirempuh arus deras pada awal pagi.
Ketika itu, mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari Tawau ke Ranau, Sabah.
Terperangkap 3 jam di Lata Ulu Kasar, Setiu, Terengganu (2022)
Walaupun tiada maut dalam insiden ini, namun angka 50 pengunjung yang terperangkap di tapak rekreasi tersebut akibat kepala air itu agak menakutkan.
Selain terperangkap hampir tiga jam di lokasi kejadian, dua buah kereta turut dihanyutkan oleh arus deras akibat kepala air itu.
Beberapa kawasan di Yan, Kedah dilanda lumpur akibat kepala air dari Gunung Jerai pada 2021.
Tragedi kepala air Gunung Jerai (2021)
Fenomena kepala air dari Gunung Jerai mengorbankan enam nyawa yang dihanyutkan arus deras, manakala ratusan penduduk di beberapa kampung di Yan dilanda banjir lumpur sehingga menjejaskan kawasan Merbok di daerah Kuala Muda, Kedah.
Bencana terbabit turut menjejaskan 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa yang mengalami kerosakan akibat fenomena itu.
Di sebalik kesedihan yang melanda segelintir pihak ketika ini, rakyat disarankan untuk terus berhati-hati dan berwaspada dengan tanda-tanda kepala air bagi mengelakkan kejadian sama meragut nyawa insan tersayang.
Sekiranya berdepan tanda-tanda awal seperti cuaca mendung, terdengar bunyi yang kuat dari puncak atau air sungai mulai keruh disusuli dengan daun gugur, teruslah beredar dari lokasi dengan segera supaya tidak terperangkap dalam fenomena kepala air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram