PRN: Tiada masalah bergerak solo, pakar ramal Muda jadi alternatif baharu pengundi selain blok parti gergasi


  • Politik
  • Selasa, 27 Jun 2023

Parti Muda pimpinan bakal berdepan sedikit isu dari segi jentera dan sumber kewangan menjelang PRN. — Facebook/Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

PENGUMUMAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bergerak solo dalam bertanding di keenam-enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi secara tidak langsung memberi satu dimensi baharu dalam kancah politik semasa.

Meskipun parti tersebut masih setahun jagung dalam dunia politik sama seperti Perikatan Nasional (PN), mereka dilihat yakin mampu bersaing dengan parti-parti politik senior seperti Umno dan Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, tindakan parti Muda yang dikepalai Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah satu langkah berani untuk sebuah parti yang baru ditubuhkan pada 2020 itu.

"Bergerak solo bererti Muda bergerak menggunakan sumber sendiri termasuk jentera dan kewangan.

"Dari segi kempen, Muda akan berhadapan dengan sedikit isu melainkan mereka boleh memanfaatkan media sosial," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Mohd Izani turut meramalkan berlakunya pecah undi terutamanya dalam kalangan pengundi di bandar, sekali gus menjadi alternatif lain kepada mereka yang menolak parti-parti lain seperti BN, PH dan PN.

Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak sekiranya Muda ingin bekerjasama dengan PN bagi memenangi PRN.

"Buat masa ini, Muda mempunyai kelebihan untuk menarik minat pengundi golongan muda, selain daripada Undi18.

"Tapi Muda juga berpotensi untuk hilang deposit jika bertanding di kawasan luar bandar, jadi mereka perlu menyusun strategi untuk fokus di kawasan tertentu yang mempunyai potensi menang majoriti," katanya.

Pada Isnin, Syed Saddiq berkata, keputusan bergerak secara solo dalam PRN itu dibuat selepas mendapat pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada badan bukan kerajaan, dan rakyat tentang perjuangan yang bakal ditempuh tanpa sebarang ikatan daripada parti-parti politik lain.

Katanya, walaupun mengakui mereka masih mentah dalam dunia politik, namun idealisme membawa politik baharu dalam landskap masa kini menjadi pembakar semangat untuk mereka mara ke depan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram