SEORANG peniaga meminta orang ramai untuk tidak memutarbelitkan satu video miliknya untuk tujuan politik atau mengecam pihak berkuasa bagi tujuan peribadi.
Menurut lelaki tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai 'Abang Jual Air' berkata, tujuan dia memuat naik video tersebut adalah untuk dijadikan sebagai bukti sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini pada masa hadapan.
Katanya, video yang dimuat naik pada 18 Jun lalu itu kerana berlaku salah faham di antara dia dan seorang individu yang dipercayai penduduk tempatan di kawasan tersebut.
"Saya baru seminggu berniaga dan menyewa satu kedai di Bangi, Selangor dan pada waktu itu, saya didatangi seorang individu yang tidak dikenali.
"Lelaki berkenaan datang ke kedai dan tidak membenarkan saya menjual air di depan kedai sedangkan kawasan depan premis itu masih lagi kedai saya.
"Jadi, saya pun pelik kenapa tidak boleh berniaga di depan kedai tersebut sedangkan kedai milik warga Aceh di sebelah saya dibenarkan berniaga.
"Mula-mula saya ingat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang datang tetapi individu berkenaan kata dia 'jaga' kawasan tersebut.
"Isunya sekarang melibatkan individu itu sahaja dan tiada kaitan pun dengan warga asing, politik atau PBT. Tiada niat langsung saya nak buat macam itu tetapi itulah dapat pada orang tidak bertanggungjawab diputar belit pula kenyataan saya," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia turut tidak menyangka apabila mengetahui videonya itu mula mendapat perhatian ramai dan dimuat naik di media sosial yang lain.
"Kalau boleh jangan sebar benda yang tidak betul, video itu hanya sebagai bukti sahaja dan perkara tersebut pun sudah diselesaikan secara baik.
"Tidak timbul isu saya ditindas mana-mana pihak berkuasa atau ahli politik. Saya harap dengan penjelasan saya ini dapat menerangkan situasi tersebut.
"Sudah adat berniaga, mesti ada halangan. Sebagai peniaga kita kena terima dan hadap dengan tenang dugaan yang datang.
"Allahamdullilah, perniagaan saya semakin baik ketika ini dan saya pun sudah tidak diganggu individu berkenaan," jelasnya.
Dia turut berharap mana-mana individu yang memuat naik video tersebut dan menggunakan sebagai modal untuk berpolitik agar memadamkan video berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram