UMNO Bahagian Kota Raja pada Selasa berhasrat mengetengahkan ahlinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon parti berkenaan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Negeri di Selangor.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar turut menyatakan keyakinannya terhadap Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor itu yang mempunyai visi dan misi yang jelas untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Menurutnya, Tengku Zafrul akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat, selari dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
"Pada ketika ini, di Parlimen Kota Raja, wakil-wakil rakyatnya datang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
"Adalah wajar sekiranya kerusi DUN Sungai Kandis yang hampir 70 peratus terdiri dari pengundi Melayu diwakili oleh Umno," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, hasrat harus dizahirkan dan dipertimbangkan oleh kepimpinan parti gabungan BN-PH demi memberi keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas ini.
Katanya, pihaknya menyokong penuh Tengku Zafrul sebagai calon Kerajaan Perpaduan DUN Sungai Kandis agar dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama-sama. Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua.
Media sebelum ini melaporkan Tengku Zafrul yang menganggotai Umno pada tahun 1997 bertanding buat kali pertama pada PRU-15 kerana mahu terlibat secara aktif dalam kancah politik.
Rentetan itu, beliau yang juga Ahli Umno Bahagian Kota Raja menyatakan hasrat menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, menjelang pemilihan parti akan datang.
Kini khabar angin tentang Tengku Zafrul terus bertiup di Selangor apabila beliau didakwa bakal menyertai PRN di negeri tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram