'Tak berbaloi bawa kes struktur haram ke mahkamah', DBKL minta jiran segera lapor jika curiga


  • Primer
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Antara contoh sambungan struktur bangunan rumah yang tidak dibenarkan.

JIKA anda mempunyai sebarang keraguan berhubung pengubahsuaian rumah jiran yang mungkin menyimpang daripada pelan bangunan asal, anda mempunyai hak untuk memeriksa pelan tersebut.

Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Norizan Sulaiman berkata, meskipun pihak berkuasa tempatan telah memperkenalkan garis panduan baharu mengenai pengubahsuaian pada 2015 - untuk memberi lebih fleksibiliti kepada penduduk bagi mengubah suai kediaman mereka - namun, ramai yang melampaui batas ketika menambah struktur bangunan.

Beberapa sambungan itu adakalanya menimbulkan bahaya kepada jiran terdekat mereka.

"Kami telah melihat begitu banyak kes, yang mana individu profesional menghasilkan pelan yang diluluskan, tetapi pemilik rumah akan mendapatkan kontraktornya untuk melakukan pengubahsuaian melebihi had undang-undang.

"Jadi, jika anda mengesyaki pengubahsuaian rumah jiran anda melampaui had, anda boleh datang ke pejabat kami di DBKL, Menara 2 dekat Jalan Raja Laut (Kuala Lumpur) serta meminta untuk melihat pelan pengubahsuaian.

"Anda boleh membawa bersama arkitek atau jurutera profesional untuk melihat pelan itu, tetapi anda tidak boleh mengambil salinan pelan itu," katanya.

Tiada caj dikenakan untuk melihat pelan.

MUGSHOT Kuala Lumpur  Norizan Sulaiman.sss

Norizan

Norizan berkata, masyarakat melalui persatuan penduduk masing-masing boleh memainkan peranan dalam memantau sambungan haram di kawasan kejiranan mereka, sebelum melaporkan sebarang pelanggaran kepada DBKL.

Beliau mengetengahkan kes pemilik rumah dua tingkat yang menyambung struktur kediaman mereka, menjadikannya sebanyak tingkat tiga dan empat tingkat secara haram.

Katanya, ada juga pemilik rumah berstrata mengubah suai unit tingkat bawah di luar kawasan yang sepatutnya.

"Garis panduan ini jelas untuk rumah pangsa, kondominium, rumah teres, banglo dan juga hartanah komersial seperti restoran dan kilang.

"Apa-apa sahaja yang melebihi pintu depan dan belakang rumah adalah haram, dan saya menasihatkan orang ramai untuk memaklumkan kepada kami apabila mereka terjumpa pelanggaran sedemikian.

"Kami menerima aduan orang ramai yang curiga dengan sambungan rumah jiran mereka dan meminta untuk melihat rancangan itu. Sebahagian daripada sambungan ini menceroboh tanah awam.

"Kami menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga DBKL," katanya.

Ubah suai akibatkan kerosakan

Mengulas lanjut, Norizan berkata, arkitek yang mendapati rancangan mereka tidak diikuti oleh pelanggan juga boleh melaporkan perkara itu kepada DBKL.

Hal ini kerana, katanya, terdapat beberapa kerja pengubahsuaian haram yang telah menyebabkan kerosakan besar kepada bandar tersebut.

"Sebagai contoh, apabila struktur haram menutup longkang awam, sampah terperangkap di dalamnya.

"Ini menyebabkan banjir kilat yang membawa kerugian kepada bandar dan penduduk.

"Di sesetengah kawasan, wabak penyakit seperti denggi dan chikungunya telah berlaku akibat air bertakung yang terperangkap dalam longkang," jelasnya.

Sambungan haram juga menghalang kakitangan pembersihan Alam Flora daripada melakukan tugas mereka, tambahnya.

DBKL banyak robohkan struktur hampir siap

1703222

Contoh ubah suai rumah yang dibenarkan.

Norizan berkata, terdapat garis panduan standard mengenai pengubahsuaian yang perlu dipatuhi semua pihak berkuasa tempatan, apabila meluluskan pelan bangunan melalui pemerkasaan pusat sehenti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (OSC 3.0).

Dalam kes unit berstrata, terutamanya perumahan kos rendah, beliau berkata, DBKL telah menjalankan banyak operasi untuk merobohkan struktur yang hampir siap.

"Badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) perlu memastikan sistem pemantauan yang ketat diwujudkan, bagi menghalang pemilik flat daripada menjalankan sambungan haram.

"Penduduk Kuala Lumpur yang menghadapi masalah dengan pengubahsuaian jirannya boleh mengemukakan isu itu kepada Pesuruhjaya Bangunan (CoB) DBKL," katanya.

Tak berbaloi pemilik rumah bawa kes ke mahkamah

Beliau berkata, terdapat beberapa kes pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian haram secara meluas yang mana, 50 peratus daripadanya telah siap dan enggan merobohkan struktur apabila mereka perkara itu diketahui pihak berkuasa.

"Malah ada yang membawa perkara itu ke mahkamah.

"Ini adalah proses yang memenatkan, tetapi mereka akhirnya perlu merobohkan struktur haram itu.

"Nasihat saya kepada pemilik rumah ini ialah pergi ke mahkamah tidak berbaloi," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram