70 peratus penduduk tidak konsisten bayar yuran penyelenggaraan, flat kos rendah terus dihantui pelbagai masalah


  • Massa
  • Selasa, 27 Jun 2023

Isu dihadapi penduduk di flat kos rendah akibat isu penyelenggaraan yang tidak memuaskan seakan-akan tidak berpenghujung.

ISU masalah penyelenggaraan membabitkan flat kos rendah merupakan antara isu yang sekian lama berlaku dalam kalangan penduduk kediaman tersebut.

Malah, kesan daripada situasi tersebut juga menyebabkan gambaran buruk terhadap keadaan kediaman jenis tersebut yang lazimnya lebih dekat imej sebagai tempat yang kotor dan tidak terurus.

Bagi penghuni Pangsapuri Taman Petaling Utama di Petaling Jaya, Selangor, beberapa masalah dihadapi mereka seakan-akan tidak berpenghujung.

Antara isu harian membelenggu penduduk di situ adalah tempat pengumpulan sampah terbuka yang menimbulkan pencemaran bau, parkir kenderaan terhad dan penyelenggaraan lif.

Penduduk, Wong Khay Sam, 67, berkata, tempat pembuangan sampah tersebut yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari blok unit kediamannya itu sering kali menimbulkan bau kurang menyenangkan terutamanya ketika hujan.

Dia yang tinggal di tingkat empat blok pangsapuri itu berkata, keadaan juga bertambah buruk apabila terdapat waktu ketika sampah di lokasi pengumpulan itu tidak dikutip selama dua hari oleh syarikat pengendali sisa yang bertanggungjawab.

“Ada hari tertentu laluan lori pungut sampah lalu itu terhalang dengan kereta yang parkir di tepi laluan berkenaan. Bila dah jadi macam itu, lori sampah tu tak akan masuk untuk ambil sampah di lokasi. Itu yang boleh jadi sampai dua hari sampah terkumpul.

Menurut Khay Sam, tong pengumpulan sisa itu pada awalnya diletakkan di rumah sampah yang berada hanya sekitar 50 meter tidak jauh dari lokasi berkenaan.

Khay Sam menunjukkan lokasi pengumpulan sampah terbuka yang terletak berdekatan blok pangsapurinya.

Namun, ia mula dialihkan ke tempat terbuka tersebut sejak lima tahun lalu kerana lokasi rumah pengumpulan berkenaan yang disifatkan agak sukar untuk dicapai oleh lori sampah.

Sementara itu, Kogiladassen Prosothoma, 35, yang tinggal di tingkat enam blok sama berkata, dia dan keluarganya sudah lali dengan bau sampah yang datang daripada tempat pengumpulan tersebut.

“Apa boleh buat? Isteri dan anak ada juga merungut, tapi takkanlah saya nak kena beli rumah baharu dan keluar dari sini,” ujarnya yang sudah tinggal di unit tersebut bersama isteri dan dua orang anak sejak tujuh tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Azmi Hashim, 60, berkata, isu tahap kebersihan yang agak kurang memuaskan di pangsapuri tersebut sememangnya tidak pernah berubah sepanjang 18 tahun dia dan keluarganya tinggal di situ.

“Memang dari dulu macam tu. Pihak pengurusan pangsapuri pun tidak berapa efisien. Selain itu, perkara ini juga disumbang antara lain oleh sikap masyarakat itu sendiri,” ujarnya.

Dari kiri: Kogiladassen, Azmi dan Sugumaran

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pangsapuri Taman Petaling Utama Blok C dan D, Sugumaran S Muniandy berkata, selain isu kebersihan, masalah jumlah parkir kereta yang sangat terhad juga merupakan isu besar dihadapi penghuni kediaman tersebut.

Katanya, dianggarkan hanya lebih kurang 300 ruang letak kereta disediakan di dalam kawasan pangsapuri berkenaan meskipun terdapat sebanyak 625 unit kediaman di kedua-dua blok berkenaan.

“Lebih membebankan, bagi kebanyakan penduduk yang terpaksa letak kereta di tepi jalan di luar kawasan pangsapuri ini, mereka biasanya akan berhadapan risiko disaman. Ada yang sebulan tu dapat sampai dua tiga saman,” ujarnya.

Menurut Sugumaran, beberapa isu yang dihadapi penduduk itu memberikan tekanan tambahan dalam kehidupan harian mereka.

Meskipun mempunyai kawasan parking yang terhad, masih terdapat banyak kereta lama yang dibiarkan tersadai di dalam kawasan Pangsapuri Taman Petaling Utama di Petaling Jaya, Selangor.

Hanya 30 peratus konsisten

Sementara itu, Gabungan Flat Kos Rendah MARHAEN (GFKR) mengakui masalah paling utama dihadapi penduduk flat kos rendah adalah isu penyelenggaraan yang tidak konsisten.

Penyelaras GFKR, S Mathavi berkata, situasi itu menimbulkan masalah membabitkan kebersihan kawasan flat yang tidak terjaga, ketiadaan bekalan air untuk aktiviti pembersihan umum, saluran kumbahan tersumbat dan tekanan air rendah.

Menurutnya, isu tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada kesukaran Badan Pengurusan Bersama (JMB) di jenis kediaman tersebut untuk mengutip yuran penyelenggaraan.

Mathavi berkata, berdasarkan tinjauan terhadap 61 flat kos rendah di sekitar Selangor yang berada di bawah GFKR, dianggarkan hanya 30 peratus sahaja penduduk yang membayar yuran penyelenggaraan secara konsisten.

“Selebihnya tidak dapat dikutip kerana penduduk berpendapat rendah dan tidak mampu membayar yuran setiap bulan. Selain itu, kebanyakan flats dihuni oleh penyewa dan pekerja migran.

“Jadi, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga tidak dapat mengambil tindakan secara berkesan terhadap penghuni yang tidak membayar yuran penyelenggaraan,” ujarnya.

Mathavi berkata, kos yuran penyelenggaraan berjumlah antara RM480 hingga RM680 setahun itu agak membebankan buat penduduk flat kos rendah yang rata-ratanya terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Antara syor dicadangkan GFKR adalah memansuhkan yuran penyelenggaraan bulanan dan menggantikannya dengan cukai taksiran yang perlu dilunaskan enam bulan sekali dan cukai tanah (setahun sekali).

Pada masa sama, beliau berkata, penduduk flat kos rendah ketika ini dilihat terpaksa menanggung kos yang lebih apabila perlu turut membayar cukai taksiran (kecuali Selangor) dan tanah walaupun mendapat perkhidmatan yang sedikit daripada PBT berbanding penduduk di rumah teres kos rendah.

Sebagai contoh, penghuni flat kos rendah tidak menerima manfaat perkhidmatan seperti pemotongan rumput, pembersihan longkang, penyelenggaran lampu jalan dan taman permainan.

Sehubungan itu, Mathavi berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu membuat perancangan di peringkat dasar untuk membolehkan pengambilalihan khidmat penyelenggaran di flat kos rendah.

Katanya, antara syor dicadangkan adalah dengan memansuhkan yuran penyelenggaraan bulanan dan menggantikannya dengan cukai taksiran yang perlu dilunaskan enam bulan sekali dan cukai tanah (setahun sekali).

“Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. PBT mengambil alih penyelenggaraan dan memberi perkhidmatan sama yang diberikan kepada rumah teres kos rendah.

“Perkhidmatan ini meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permaina, lampu jalan dan jalan raya dalam kawasan flat,” ujarnya.

Syor tersebut merupakan antara cadangan yang dikemukakan GFKR dalam memorandum kepada kepada KPKT pada 24 Mei lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram