HARGA rumah yang terlampau mahal menyebabkan ramai rakyat Malaysia terutamanya di bandar terpaksa memilih untuk menjadi penyewa dalam tempoh yang panjang.
Isu tersebut bukan sahaja dialami oleh anak muda, iaitu mereka yang baru bekerja tetapi juga dalam kalangan individu atau yang sudah berusia.
Tinjauan Penuaan dan Persaraan Malaysia (MARS) dijalankan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya pada 2018/2019 mendapati hanya 43.3 peratus responden berusia 40 tahun dan ke atas mempunyai pemilikan rumah.
Bagi Reez Aziz, 44, dia memilih menyewa di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor bersama isterinya sejak 10 tahun lalu bagi memudahkannya mengurus perniagaan jualan gerai minuman yang terletak di sekitar kawasan tersebut.
Pada awalnya, Reez berkata, dia sememangnya tidak mempunyai sebarang kerisauan untuk menyewa unit kediaman jenis flat itu dalam tempoh panjang kerana melihat ia sebagai antara pilihan yang ada, memandangkan kos pemilikan rumah di bandar adalah sangat mahal.
Bagaimanapun, pandangan tersebut mula berubah selepas dia dihalau keluar dari rumah yang disewanya selama lapan tahun oleh pemilik pada September 2021, ketika negara masih dalam tempoh pandemik.
Reez menyewa unit flat di sekitar Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, selama kira-kira lapan tahun. — Facebook
Reez berkata, dalam keadaan perniagaannya yang terjejas akibat penularan Covid-19, dia diberi tempoh kira-kira tiga bulan untuk keluar dari rumah terbabit yang disewanya pada kadar RM550 sebulan.
"Dua tahun tak dapat meniaga, sebab itu terjejas. Dapat keluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun cukup untuk bayar komitmen yang ada.
"Jadi waktu nak pindah tu pun terpaksa pinjam sana sini dengan kenalan dan keluarga terdekat," ujarnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pembantu pejabat selama 10 tahun.
Reez yang merupakan anak jati Petaling Jaya itu berkata, kos berpindah ke rumah sewa baharunya juga agak membebankan kerana kadar penawaran sewa di kawasan berkenaan telah meningkat dua kali ganda berbanding lapan tahun lalu.
"Jadi bila lepas jadi isu macam itu, saya memang ada terfikir macam nak cuba beli rumah di sekitar kawasan ini dari terus menyewa . Tapi harga rumah sekarang pun tak tercapai kemampuan kita.
"Jadi sekarang ini macam terpulang kepada rezeki. Jika rezeki itu ada, insya-ALLAH ada. Sekarang pun dah 44 tahun, macam sukar kalau nak rancang apa-apa," katanya yang mula berniaga dengan membuka kedai minuman pada 2016.
Sementara itu, bagi Hisham Helmi, 51, dia terpaksa menyewa sejak 15 tahun lalu selepas perlu menjual rumah miliknya di Petaling Jaya, Selangor untuk menyelesaikan hutang ekoran penutupan perniagaan kedai makannya sekitar 2008.
Bapa kepada empat orang anak itu berkata, susulan daripada masalah tersebut, dia dan keluarga bernasib apabila dapat menyewa di rumah teres dua bilik milik keluarga terdekat di sekitar daerah sama sehingga kini.
Peniaga, Hisham Helmi.
“Sepanjang tempoh menyewa ini, memang ada hasrat nak beli rumah. Tapi persoalannya cuma mampu tak mampu sahajalah.
“Sebab kita dah berhenti kerja, jadi nak buat pinjaman pun sukar,” katanya yang pernah bekerja sebagai penyelia cawangan bank selama 15 tahun sebelum membuka perniagaan kedai makanan.
Hisham yang kini menjalankan perniagaan mengedar roti di stesen minyak sekitar Lembah Klang memaklumkan, dia dan keluarganya merancang berpindah ke rumah yang dibeli secara pinjaman bersama dua orang anaknya di Dengkil, Selangor dalam tempoh dua tahun lagi.
Dalam pada itu, perunding kewangan, Shamsuddin Kadir berpandangan tindakan menyewa untuk satu tempoh yang lama tanpa memiliki sebarang aset kediaman lain berpotensi memberi kesan buruk untuk jangka masa panjang.
Ini kerana, menurutnya, banyak kes diterima membabitkan individu yang sudah memasuki usia persaraan namun gagal memiliki rumah akibat terlalu selesa menyewa ketika bekerja.
Harga rumah yang mahal terutamanya di kawasan bandar seperti Lembah Klang menyebabkab ramai individu terpaksa membuat keputusan menyewa berbanding membeli rumah. — Gambar hiasan
Katanya, kes sedemikian bukan sahaja membabitkan pekerja di peringkat rendah tetapi termasuk mereka bertaraf eksekutif dan penjawat awam.
"Ada banyak kes mereka yang kena halau masa baru nak masuk tempoh persaraan. Yang umur dah cecah lebih 60 tahun pun ada. Sebabnya tuan rumah nak jual kerana alasan seperti nak guna duit untuk tampung perbelanjaan anak yang nak sambung belajar luar negara," ujarnya.
Katanya, ketiadaan rangka undang-undang di Malaysia ketika ini yang melindungi penyewa rumah juga menyebabkan kumpulan tersebut terdedah kepada pelbagai risiko.
"Kebiasaan orang menyewa waktu mula-mula sahaja ada perjanjian kontrak, lepas itu kontrak itu cuma diperbaharui sahaja lepas kontrak biasanya setahun atau dua tahun.
"Jadi dalam kes sebegini, ada sesetengah situasi di mana pemilik rumah tak bagitahu yang rumah itu dah dijual atau dilelong. Jadi penyewa dapat cuma dapat tahu apabila mereka kena halau.
"Ada sampai peringkat penyewa itu dah terlantar sakit tapi tetap kena halau sebab tuan rumah jual rumah tersebut," ujarnya yang menyarankan rakyat Malaysia membuat perancangan pembelian kediaman seawal ketika tempoh permulaan bekerja.
Sementara itu, tinjauan sama dibuat SWRC mengenai isu penuaan dan persaraan turut mendapati separuh daripada responden berusia 40 tahun dan ke atas mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.
Penyelidik di pusat kajian polisi, The Centre, Fikri Faisal, berkata, situasi itu menghadkan keupayaan kumpulan tersebut untuk menyewa rumah dalam pasaran di sektor swasta.
Fikri berkata, amalan penjagaan keluarga tidak formal terhadap warga emas di Malaysia berkemungkinan tidak mampu bertahan lebih lama atas beberapa faktor. - Gambar hiasan
Beliau berkata, walaupun tinjauan sama mendapati 84.2 peratus daripada kumpulan tersebut tinggal bersama ahli keluarga masing-masing dengan kebanyakannya duduk dengan anak yang belum berkahwin, amalan penjagaan tidak formal keluarga itu berkemungkinan tidak mampu bertahan lama.
Ia antara lain disumbang pertamanya oleh faktor kemerosotan saiz isi rumah di dalam negara yang menguncup daripada 5.2 pada 1980 kepada 3.8 pada 2020.
"Kedua, bilangan isi rumah untuk tiga generasi telah menurun daripada 41.1 peratus pada 2004 kepada 30.7 peratus pada 2016.
"Ketiga, bahagian isi rumah dengan hanya warga emas telah meningkat antara 16.5 hingga 19 peratus dalam tempoh yang sama.
“Oleh itu, bakal warga emas mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rumah atau tempat perlindungan daripada penjagaan tidak formal keluarga kerana situasi tersebut,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram