SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaanya terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu.
Tuanku Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’,” titah baginda pada Isnin.
“Saya harap kerajaan pusat akan berikan bantuan untuk baik pulih flat kos rendah yang lama dan penduduk juga mesti sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka," titah Sultan Ibrahim lagi.
Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa. — Gambar hiasan
Sultan Johor turut bertitah, baginda tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan dijalankan SWM Environment Sdn Bhd (SWM) di negeri itu.
“Kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada SWM, namun perkhidmatan (pembersihan) atau pungutan sampah yang dijalankan langsung tidak memuaskan.
“Malah perjanjian bersama SWM adalah ‘watertight’ seolah-olah tidak boleh dipertikaikan. Walaupun banyak aduan telah dibuat mengenai perkhidmatan SWM yang mengecewakan, namun keadaan masih tidak berubah," titah baginda.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Isnin.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram