[VIDEO] Bangla jadi bos, bolot bisnes air balang dekat KLCC masa cuti Aidiladha


  • Tular
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Tangkap layar warga asing menjalankan perniagaan jual beli air balang di kawasan berhampiran menara berkembar KLCC, Kuala Lumpur.

SABAN tahun, perayaan Hari Raya Aidiladha disambut meriah oleh masyarakat beragama Islam yang kebiasaannya akan pulang ke kampung halaman untuk menjalankan ibadah korban dan sebagainya.

Namun, dalam pada kesibukan warga kota yang bercuti ke kampung masing-masing, golongan pendatang asing pula difahamkan mula menguasai kawasan di sekitar Kuala Lumpur dengan kelibat mereka dikatakan saling tidak tumpah seperti berada di negara sendiri.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian video di laman TikTok memaparkan golongan terbabit apabila menjalankan aktiviti menjual beli air balang berhampiran menara berkembar KLCC, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam satu video berdurasi 30 saat itu jelas menunjukkan lambakan warga Bangladesh sakan berniaga di kawasan berkenaan.

Ketiadaan peniaga tempatan yang pulang bercuti di kampung, membuatkan golongan terbabit tampil berani menjalankan aktiviti jual-beli di situ.

Si perakam kemudiannya turut mendakwa, hampir keseluruhan kawasan berkenaan dimonopoli pendatang asing yang tidak dikawal mahu pun dipantau oleh pihak berkuasa.

Di ruangan komen, rata-ratanya menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), segera menjalankan tugas dan memantau aktiviti terbabit.

"DBKL tolong pantau apa yang patut, kita semua bercuti ke kampung habis pendatang pula sakan berniaga air balang," kata Amni Zulaikha.

"Macam mana boleh penuh pendatang berniaga di situ, kita beraya dorang seronok keluar berjalan jumpa kawan, macam tempat dia jadinya," kata Faris Aman.

"Niaga air balang depan KLCC, makin berani pendatang ini, tak ada sesiapa buat pantauan ke macam mana musim cuti ni," jelas Syukri Senin.

Dalam pada itu, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak DBKL berhubung isu terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram