[VIDEO] Pemandu Saga merah pentingkan diri ekori ambulans bawa jenazah sampai konvoi keluarga tertinggal


  • Tular
  • Jumaat, 30 Jun 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan tindakan pemandu kereta Proton Saga berwarna merah itu mengekori ambulans tersebut.

KETIKA kebanyakan pengguna jalan raya menghadapi kesesakan di lebuh raya sempena sambutan perayaan Aidiladha, masih terdapat segelintir pemandu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

Tular sejak Khamis satu video berdurasi 10 saat memaparkan tindakan seorang pemandu mengekori sebuah ambulans yang sedang membawa jenazah kanak-kanak dari Kuala Lumpur ke Taiping, Perak untuk dikebumikan.

Perbuatan itu dipercayai dibuat bertujuan bagi membolehkan pemandu yang membawa kereta jenis Proton Saga berwarna merah itu melepasi kesesakan sedang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke arah Utara.

Lebih menyedihkan, tindakan pemandu tidak bertanggungjawab itu menyebabkan terdapat kenderaan konvoi ahli keluarga jenazah yang tertinggal untuk mengekori ambulans tersebut akibat dihalang kereta terbabit.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh bapa kepada jenazah kanak-kanak itu, Jarir Harun menerusi hantaran yang tular di sosial media.

"Saya dalam ambulans menghantar jenazah anak saya dari HKL (Hospital Kuala Lumpur) ke Taiping untuk urusan pengebumian.

"Belakang saya (Toyota) Vios putih tu tu adik ipar saya yang follow ambulans memandangkan lebuh raya PLUS agak sesak hari ni.

"Lebih mengejutkan, tindakan pemandu yang membawa kereta Proton Saga berwarna merah itu menyebabkan ada lagi sebuah kereta ahli keluarga saya sepatutnya di belakang Vios, tapi terhalang oleh kereta Proton Saga ini yang entah dari mana datangnya.

"Sudahnya kereta yang lagi satu langsung tertinggal," ujarnya.

Menurutnya, pemandu kenderaan tersebut juga langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah apabila terus mengikuti ambulans tersebut dan menyalahgunakan lampu kecemasan dan lampu suluh tinggi atau 'high beam' sepanjang perjalanan dari Tapah sehingga ke Kuala Kangsar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram