[VIDEO] Penunggang motosikal dipercayai maut terbabas elak kereta di Ketereh


  • Tular
  • Isnin, 12 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan orang ramai berkumpul di lokasi kemalangan di Kampung Buloh Poh, Ketereh.

MALANG tidak berbau apabila seorang penunggang motosikal dipercayai maut akibat terbabas selepas mengelak sebuah kereta di Kampung Buloh Poh, Ketereh, Kelantan.

Kejadian tersebut tular di media sosial pada Isnin memaparkan beberapa orang dipercayai penduduk sekitar berkumpul di lokasi insiden berkenaan.

Video berdurasi 28 saat itu turut memaparkan pihak polis berada di lokasi kejadian untuk meninjau keadaan mangsa dan situasi secara amnya.

Kelihatan dalam rakaman itu motosikal dipercayai milik mangsa remuk dan tersadai di bahu jalan.

Orang awam juga kelihatan mengerumuni lokasi kejadian untuk melihat keadaan kemalangan jalan raya itu yang tentunya mengejutkan penduduk setempat.

Bagaimanapun setakat ini, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berkenaan insiden tersebut.

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian terbabit berlaku pada Jumaat lalu melibatkan sebuah motosikal yang melanggar sebuah kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas memotong sekumpulan konvoi motosikal di Kampung Buloh Poh, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan polis mendapati insiden berlaku kira-kira 7.10 pagi ketika motosikal ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun menghala ke Ketereh dipercayai memotong sekumpulan konvoi motorsikal yang melalui jalan sama.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, sebuah kenderaan MPV yang berada di bahu jalan sebelah kiri haluan sama masuk ke jalan utama untuk membuat pusingan U sehingga mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak dan terlanggar di bahagian sisi sebelah kanan kereta.

Tambahnya, motosikal terbabit kemudiannya terbabas ke kanan jalan merempuh tong sampah dan tiang elektrik di tempat kejadian.

"Penunggang motosikal yang juga seorang peniaga didapati tidak sedarkan diri serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Ketereh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosdi meminta orang ramai yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pemanduan atau menunggang secara konvoi berkumpulan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram