[VIDEO] Henti pertikai dana Adik Luth, derma untuk selesaikan bil, urusan hospital


  • Tular
  • Rabu, 28 Jun 2023

Misi Rakyat sudah berjaya mengumpul sebanyak RM169,692 kutipan dana daripada orang ramai. — Instagram/Misi Rakyat

MAS Muhammad Luth Muhammad Aliff, seorang kanak-kanak yang berdepan penyakit ketumbuhan otak agresif tahap empat, Glioblastoma Multiforme (GBM) dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

Perkara duka itu disahkan menerusi satu hantaran di laman Instagram Luthfighterboy pada Rabu.

Kisah Adik Luth yang menderita penyakit jarang dijumpai itu sebelum ini menarik perhatian rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib menimpa dia, apatah lagi pihak hospital memaklumkan sebanyak RM6 juta diperlukan untuk tujuan rawatan.

Selain bantuan individu ternama yang terkesan dengan kisah kanak-kanak tersebut, Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi turut cuba meringankan beban keluarga itu dengan menubuhkan satu tabung secara dalam talian.

Setakat ini, Misi Rakyat sudah berjaya mengumpul sebanyak RM169,692 kutipan dana daripada orang ramai sejak ia dimulakan, namun ternyata ALLAH SWT lebih menyayangi anak itu.

Tetapi dengan situasi ketika ini, ada yang mempersoalkan ke manakah wang sumbangan tersebut akan disalurkan?

Menjawab persoalan dan pertikaian netizen, Nur Ahmad Faiz tampil menjelaskan, dana terkumpul akan diserahkan kepada ibu Luth untuk menyelesaikan segala urusan hospital.

Tangkap layar hantaran di Instagram mengenai Adik Luth. — Instagram/ luthfighterboy

"Berhenti bertelagah tentang dana Adik Luth. Tujuan saya tanya semua agar semuanya transparent dan semua boleh bersetuju untuk keputusan bersama.

"Majoriti bersetuju untuk diserahkan kepada ibu Luth bagi selesaikan bil hospital, segala tunggakan sepanjang tanggungan malah ibu Luth juga tidak berada dalam keadaan stabil di saat ini. Maka dana ini dapat membantu selesaikan apa yang patut.

"Saya juga telah menghubungi ibu Luth tapi dijawab oleh adiknya, saya nyatakan untuk serahkan 100 peratus dana atas persetujuan ramai.

"Adiknya membalas terima kasih dan akan selesaikan apa yang patut dan juga mereka berhasrat untuk serahkan kepada pesakit yang memerlukan. Jadi, saya minta mereka terima dan uruskan sendiri apa yang patut," katanya menerusi hantaran Instagram pada Rabu.

Dia turut berharap agar warganet tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat olehnya.

"Jadi, kepada yang komen bukan-bukan, mempertikaikan dana ini tapi tidak terlibat dalam sumbangan, tolong jangan keruhkan keadaan. Fikirlah jauh sebelum berkata-kata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram