Persepsi angkuh sindir Sabah, Sarawak makan diri, peguam dilabel katak bawah tempurung


  • Massa
  • Isnin, 26 Jun 2023

Rakyat di Sabah dan Sarawak yang berbilang bangsa hidup secara harmoni. — Gambar hiasan

TINDAKAN peguam aktivis, Asiah Abd Jalil menyuarakan pendapat sinis bahawa Sabah dan Sarawak bukanlah tempat yang sesuai untuk meneruskan kerjaya baru-baru ini menerima pelbagai reaksi masyarakat tempatan kedua-dua negeri berkenaan.

“Kalaulah saya ini kakitangan awam, diminta bertugas di Sabah atau Sarawak, saya akan meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam.

“Sebagai warga Semenanjung Malaysia, saya memandang Sabah dan Sarawak bukan tempat yang indah untuk meneruskan kerjaya.

“Bukan tempat yang praktikal untuk merancang hidup berkeluarga," tulisnya di Facebook peribadi miliknya.

Sindirnya lagi, walaupun kedua-dua negeri itu sudah pun menyertai pembentukan Malaysia selama 60 tahun tetapi pembangunan di Sabah dan Sarawak tidak setanding Semenanjung Malaysia.

Asiah

Tangkap layar perkongsian Asiah mengenai Sabah dan Sarawak di Facebook peribadinya. — Facebook

Malah dia turut beranggapan, menempatkan rakyat Semenanjung untuk bertugas di kedua-dua negeri tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk hukuman.

"Sebab itu kalau nak 'hukum' kakitangan awam Semenanjung Malaysia, hantarlah Sabah atau Sarawak. It's an open secret. Polis, doktor, cikgu dan lain-lain faham sajalah bila dihantar bertugas ke sana secara paksa rela.

"60 tahun selepas merdeka bersama Malaysia, Sabah dan Sarawak masih belum berjaya hasilkan rakyat negeri sendiri yang boleh mengisi pekerjaan di negeri sendiri.

"Masih bergantung dengan rakyat Semenanjung Malaysia untuk berkhidmat di sana," katanya.

Walaupun komen hantaran itu tidak dibuka secara umum, namun ia menjadi isu hangat dibincangkan warga maya.

Malah ada yang menganggap peguam tersebut seperti katak di bawah tempurung yang tidak pernah menjejakkan kaki ke kedua-dua negeri berkenaan.

Bagi Justin Adin, dia menyifatkan Asiah sebagai seorang yang bongkak dan hanya melihat Sabah dan Sarawak dari luaran.

"Sebelum menyuarakan pendapat, eloklah diteliti terlebih dahulu. Ya saya akui mungkin kami di Sarawak sedikit ketinggalan tetapi perlu ke menggunakan menulis tanpa usul periksa.

"Saya yakin, Asiah seorang peguam pastinya lebih cerdik daripada ini. Jangan gunakan medium Facebook untuk menjadi terkenal dengan mengutuk negeri lain.

"Gunakan kepandaian anda untuk mendidik anak bangsa agar suatu hari nanti 'setaraf' dengan kamu," tulisnya.

Sementara itu, Firdaus Kapin menghormati dengan pandangan peguam tersebut namun tidak bersetuju dengan kenyataannya.

"Saya menghormati pandangan Asiah, namun saya tidak setuju dengan kenyataan tersebut. Banyak rakyat Sabah dan Sarawak yang berkualiti dan berbakat dalam pelbagai bidang.

"Selain itu, kekurangan kemajuan ekonomi di Sabah dan Sarawak bukan disebabkan oleh kurangnya sumber manusia yang berkualiti, tetapi lebih kepada faktor-faktor seperti pemajuan infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang tidak seimbang.

"Selain itu, menghantar kakitangan awam Semenanjung ke Borneo bukanlah satu bentuk hukuman, tetapi lebih kepada strategi untuk memastikan kecekapan dan pengurusan yang lebih baik dalam pentadbiran awam di Sabah dan Sarawak.

"Ini juga membuka peluang untuk persilangan idea dan pengalaman antara kakitangan Semenanjung dan Borneo untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan pembangunan ekonomi di kedua-dua kawasan," tulisnya.

07B3A1DE-468D-473D-8A78-5244668B7E7D

Seorang guru, Siti Aina menyifatkan rakyat di Sabah dan Sarawak hidup harmoni dan tidak pernah timbul isu perkauman. — Gambar hiasan

Bagi seorang guru, Siti Aina yang pernah bertugas di pedalaman Sabah dan Sarawak, dia tidak melihat kedua-dua negeri tersebut sebuah negeri yang ketinggalan.

"Saya seorang cikgu berasal dari Johor, berpengalaman mengajar di kawasan pedalaman kedua-dua negeri ini. Saya tidak pernah melihat rakyat di sini susah, malah mereka bekerja dengan lebih produktif dan rajin.

"Di sini juga walaupun perbezaan kaum namun rakyatnya hidup aman dan damai. Tidak pernah timbul isu agama dan bangsa. Saya tidak pernah menyesal bertugas dan berkahwin dengan orang tempatan. Saya bangga anak saya boleh bertutur dalam bahasa tempatan.

"Tiada apa yang dibanggakan dengan Semenanjung Malaysia, masih ada kekurangannya," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram