Menjelang PRN, ada sebab isu air tak laku jadi modal politik jatuhkan PAS di Kelantan


  • Politik
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Parti PAS dilihat sering memberi janji manis terhadap rakyatnya untuk menyelesaikan isu masalah air.

ISU kualiti air di Kelantan sentiasa menjadi buah mulut orang ramai sehingga dijadikan modal untuk mengkritik kerajaan negeri ataupun parti yang menerajui negeri berkenaan selama bertahun-tahun lamanya iaitu PAS.

Sehubungan itu, masalah air berpanjangan di negeri Pantai Timur itu dijangka menggugat sokongan rakyat Kelantan terhadap pentadbiran PAS di negeri tersebut pada masa akan datang.

Manakan tidak, rungutan demi rungutan dibuat oleh rakyat saban tahun namun isu itu ibarat barah yang semakin merebak dan tiada penawarnya.

Malah, masalah air itu juga sering dijadikan bahan parti lawan untuk mempengaruhi sokongan rakyat agar tidak mengundi parti Islam tersebut yang sudah menerajui negeri Kelantan lebih daripada tiga dekad.

Pada tahun 2020, Menteri Alam Sekitar dan Air pada ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan bahawa negeri Serambi Mekah itu dijangka menerima bekalan air yang sempurna menjelang 2023.

Katanya, ini kerana terdapat proses pembesaran dan naik taraf di beberapa loji air utama yang sedang dilaksana di negeri itu di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Namun begitu, selepas tiga tahun, isu tersebut masih belum ternoktah, sekali gus mencerminkan kelemahan pemimpin PAS sehingga ada yang berpendapat parti itu patut 'digulingkan'.

Passport-photo-Dr-Mazlan-2

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali.

Bagaimanapun, Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berpandangan, meskipun isu air sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan PAS, ia dijangka tidak akan menarik sokongan rakyat terhadap parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, ini kerana penduduk Kelantan masih menginginkan pemimpin yang terdiri daripada agamawan untuk memimpin mereka.

"Berdasarkan trek rekod, rakyat di negeri tersebut lebih mengutamakan akhirat. Jadi, kepimpinan ulama itu penting, sebab itu mereka boleh kekal selama lebih 30 tahun.

"Air ni pun bukan isu baharu, dah lama dah. Malah, semasa Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRU15), ada satu gerakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipanggil Bersih. Mereka buat satu gerakan pendedahan tentang air, tapi PAS tetap menang besar," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.

Mazlan turut berpendapat, kebanyakan pengundi di Kelantan pada ketika ini berhijrah ke luar negeri dan hanya pulang untuk mengundi ketika pilihan raya.

Sehubungan itu, ada dalam kalangan pengundi yang tidak terpalit dengan isu tersebut.

"Sebenarnya yang memenangkan PAS ialah pengundi luar. Mereka tak rasa kesusahan rakyat Kelantan sebab mereka duduk di Selangor, Pulau Pinang, Johor yang mana di sana semua okay.

"Jadi mereka tak rasa keperitan yang dialami penduduk di Kelantan, yang penting ialah golongan ulama memerintah.

"Jadi saya tak nampak Kelantan akan jatuh dalam PRN akan datang, masih di bawah PAS tambah-tambah sekiranya pengundi luar balik mengundi, PAS akan menanglah," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram