KPM siasat dakwaan murid darjah 1 kena kurung dalam pagar besi di sekolah


  • Tular
  • Rabu, 28 Jun 2023

Tangkap layar perbualan ibu bapa dan guru sekolah terbabit yang dikongsikan di Twitter pada Selasa.

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan akan menyelidik dakwaan berhubung seorang murid darjah satu dikurung dalam sebuah ruang ditutupi jeriji besi di sebuah sekolah di Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Saya akan semak dahulu," katanya memetik laporan FMT pada Selasa.

Majoriti sebelum ini melaporkan, tindakan seorang guru yang didakwa mengurung murid tahun satu di sebalik jeriji besi di sebuah sekolah rendah mendatangkan kemarahan ibu bapa.

Fadhlina Sidek memberi jaminan akan menyelidik dakwaan tersebut. — Bernama

Perkara itu dikongsikan menerusi satu ciapan di laman Twitter, Azuan Abd Ghafr yang berkongsi tentang kejadian menimpa seorang murid berusia tujuh tahun di sekolah anaknya.

Berdasarkan gambar yang dikongsi di Twitter pada Selasa, turut kelihatan beberapa barangan pembersihan termasuk kotak elektrik (DB Box) diletakkan di dalam kawasan berkenaan.

Menerusi tangkap layar perbualan antara ibu bapa dan dan guru sekolah tersebut, difahamkan seorang bapa bertanya sama ada benar anak lelakinya dikurung di sebalik jeriji besi berkenaan.

"Salam, pertanyaan. Betul ke anak saya M*****d S*****r S******n diletakkan di dalam bilik berjaring untuk pengasingan?

"Tidak ada yang jawab ke? Kejap, saya ke sekolah. Saya nak jumpa Cikgu A****l, Cikgu Z****a dan guru besar," katanya menerusi perbualan di grup WhatsApp.

Seorang guru kemudian menampilkan diri dan mengaku bahawa dirinya yang telah mengurung pelajar tersebut.

2

Tindakan guru yang didakwa mengurung murid tahun satu di sebalik jeriji besi itu mendatangkan kemarahan ibu bapa.

"Salam, ya memang saya yang letakkan," ujarnya.

Pengakuan tersebut membangkitkan kemarahan ibu bapa yang mempertikaikan tujuan sekolah itu membina pagar besi berkenaan.

Ada yang berpendapat, tindakan yang melampaui batas itu sememangnya satu tindakan yang tidak boleh diterima akal.

"Dalam ni anak aku dikurung, diasingkan, budak darjah satu.

"Rosak emosi budak nak ke sekolah, macam tak ada otak," ujar ibu bapa tersebut.

Namun, setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak sekolah mahupun Kementerian Pendidikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram