[VIDEO] Remaja OKU tahan sakit 30 minit, kaki tersepit jeriji penutup longkang sekolah


  • Tular
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut daripada tersangkut. — Bomba

SEORANG pelajar perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) berdepan dengan detik mencemaskan selepas kaki kirinya tersepit pada jeriji besi penutup longkang dalam kejadian di SMK Desa Petaling dekat Jalan 3/125, Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Komander Operasi PBK 1 Kup, Rosuhili Mohd Tarim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9 pagi sebelum menghantar jentera ke tempat lokasi kejadian.

Katanya, kekuatan anggota seramai tujuh pegawai bomba lain-lain pangkat daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sungai Besi dikerahkan untuk tugasan menyelamat.

"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian terdapat seorang remaja perempuan OKU berumur 16 tahun tersepit kaki kiri di dalam penutup longkang.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan kaki remaja perempuan tersebut dengan menggunakan peralatan power unit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, usaha mengeluarkan kaki kanak-kanak tersebut daripada tersangkut mengambil masa kira-kira 30 minit.

Mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram