'Settle' secara baik, bapa maafkan guru kurung anak dalam bilik pagar besi


  • 112
  • Rabu, 28 Jun 2023

Tangkap layar perbualan ibu bapa dan guru sekolah terbabit yang dikongsikan di Twitter pada Selasa.

IBU Pejabat Polis Daerah Rembau mengambil maklum berkaitan isu tular pelajar murid tahun satu di sebuah sekolah rendah, daerah Rembau, Negeri Sembilan yang dikurung dalam bilik pagar besi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati pihaknya melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), cawangan khas dan Ketua Polis Balai Kota mendapati kejadian berlaku pada Selasa, pukul 8.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Astana Raja Kota, Rembau.

"Seorang guru lelaki berumur 43 tahun telah mendenda mangsa dengan mengurungnya di ruangan besi kerana kesalahan disiplin. Ruangan besi merupakan ruangan pameran Persatuan Pencegahan Dadah Sekolah.

"Pada Rabu, pukul 9 pagi, satu perjumpaan telah dibuat melibatkan Pegawai Pendidikan Daerah Rembau, pihak sekolah dan keluarga mangsa yang turut dihadiri oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hazri turut memaklumkan, hasil perjumpaan itu, bapa mangsa telah menerima penjelasan oleh guru tersebut dengan baik dan telah memaafkannya.

Jelasnya, sehingga kenyataan tersebut keluarkan, tiada laporan polis yang terima oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau berkaitan kejadian berkenaan.

"Pihak polis menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan berita-berita yang tidak sahih sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

"Kami juga mengalu-alukan orang ramai untuk sentiasa membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06- 6851999," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram