Cuaca panas: Pelajar sekolah agama Johor dibenar berbaju sukan


  • Primer
  • Khamis, 11 Mei 2023

Mohd Fared berkata, arahan itu menggunakan garis panduan sama dilaksanakan kementerian. — Gambar hiasan

PELAJAR sekolah agama Islam di Johor dibenarkan memakai pakaian sukan atau pakaian yang bersesuaian semasa cuaca panas ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kebenaran itu diberikan melalui pekeliling dikeluarkan baru-baru ini.

“Kerajaan negeri telah mengambil pendekatan yang sama seperti dibuat Kementerian Pendidikan untuk kesejahteraan dan keselesaan pelajar sekolah agama Islam di Johor.

“Kita telah mengeluarkan surat pekeliling membenarkan pelajar memakai pakaian sukan ketika ke kelas,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) di Arena Larkin, Johor Bahru, Johor, pada Khamis.

Tambahnya, arahan itu menggunakan garis panduan sama dilaksanakan kementerian.

Katanya, pelajar boleh menggunakan pakaian sukan seperti di sekolah kebangsaan mereka memandangkan sekolah agama tidak mempunyai banyak pilihan untuk pakaian sukan.

“Mereka juga boleh memakai pakaian program Watak Pelajar Johor atau kemeja-T putih berseluar sukan. Yang penting kena kemas dan menutup aurat,” katanya.

Pakaian seragam pelajar sekolah agama Islam Johor ialah baju Melayu teluk belanga berwarna putih dengan songkok dan sampin hitam bagi lelaki manakalau baju kurung putih bertudung pula bagi perempuan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram