PRN: Muda umum bergerak solo, netizen ramal deposit hangus kerana hilang tempat berpaut


  • Politik
  • Isnin, 26 Jun 2023

Syed Saddiq mengakui parti Muda masih baharu dalam dunia politik, jadi beliau merayu agar rakyat Malaysia memberikannya peluang untuk membina negara.

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuat pengumuman tergempar pada Isnin apabila memaklumkan akan bertanding secara solo dalam keenam-enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlaku tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan sukar itu selepas mendapat pendapat dan pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada badan bukan kerajaan, dan rakyat tentang perjuangan yang bakal ditempuh tanpa sebarang ikatan daripada parti-parti politik lain.

Menurutnya, walaupun mengakui mereka masih mentah dalam dunia politik, namun idealisme membawa politik baharu dalam landskap masa kini menjadi pembakar semangat untuk mereka mara ke depan.

"Sebelum ini, perlu ada banyak kompromi, keadaannya juga berbeza, namun kini saya boleh katakan Muda boleh bercakap dengan suara sendiri, memasuki PRN menjadi suara rakyat.

"Supaya rakyat mempunyai alternatif yang tidak ingin melihat politik 3R dimainkan secara melampau, pada masa sama ingin menuntut janji-janji pilihan raya, mengangkat martabat rakyat, mengurangkan pemusatan kuasa, kembalikan kuasa itu kepada rakyat," katanya dalam satu sidang media khas yang ditayangkan secara online pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar itu turut mengulas kemungkinan berlakunya pecah undi pada PRN nanti.

Namun beliau berkata, parti-parti politik perlu berhenti menakutkan rakyat dengan menggunakan sentimen berlakunya kemusnahan negara dan terabainya anak bangsa jika mengundi sesetengah parti atau tewasnya parti politik itu.

Screenshot (84)

Syed Saddiq (tengah) ketika sidang media khas pengumuman berkenaan hala tuju Muda dalam PRN akan datang.

"Politik baharu ini melangkaui partisan politik, kerana perubahan itu perlu dipacu oleh institusi rakyat, bukan oleh pemimpin politik.

"Kita mahu membawa politik baharu, bina Malaysia supaya menjadi negara maju dan bermaruah dan ia akan menjadi asas untuk memastikan tidak kira siapa pun yang menduduki takhta, institusi rakyat yang akan berkuasa selama-lamanya," katanya.

Namun di sebalik semangat dan keyakinan Muda untuk bertanding dengan kekuatan sendiri pada PRN nanti, warganet meramalkan parti berkenaan bakal kehilangan deposit kerana tidak berpaut pada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah mereka turut mencadangkan supaya Syed Saddiq berunding dengan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerjasama bagi memenangi PRN nanti.

"Buang ego dan buang sombong. Jumpa Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sertai PN sebagai parti komponen. Tak perlu terburu-buru nak jadi calon atau nak jadi pemimpin.

"Kalau Muda bergerak sendiri, maaf cakaplah. Memang akan hilang deposit," kata seorang netizen, Megat Mahyuddin.

"Jadi PH menolak anak muda, kenapa anak muda nak undi PH lagi? Cuba runding dengan PN, mana tahu ada kata putus," kata Arijan Bin Hj Osman.

Selain itu, seorang pemerhati politik, Wan Zirun turut bersetuju jika Muda bekerjasama dengan PN yang dilihat lebih sesuai dengan mereka yang ingin membawa gelombang politik baharu.

"Pemimpin-pemimpin muda PN pun sudah ramai ahli akedemik, ketaqwaan mereka yang menyebab mereka di hadapan berjuang untuk rakyat dan negara.

"Jika Muda bersama mereka (PN) sudah tentu (ada) hala tuju yang betul," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram