[VIDEO] Ajal tersepit bawah treler sendiri dekat susur PLUS Rawang


  • 112
  • Jumaat, 26 Mei 2023

Pihak bomba sedang cuba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian bawah treler dalam insiden di PLUS Rawang pada Jumaat. — Bomba

KESESAKAN lalu lintas di Kilometer (KM) 448.8, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan (PLUS), Rawang, Selangor pada Jumaat berpunca daripada kemalangan melibatkan sebuah treler yang melanggar sebuah pembahagi jalan.

Dalam kemalangan tersebut, pemandu berkenaan turut maut apabila treler dipandunya melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan mengakibatkan mangsa tersepit di bawah kenderaan berat tersebut.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.41 pagi Jumaat sebelum menggerakkan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, terdapat sebuah lori treler terbabas dan melanggar pembahagi jalan bahagian tengah lebuh raya tersebut lalu terbalik.

“Pemandu berusia 28 tahun tersepit di bahagian bawah treler. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa keluar oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, video dan beberapa gambar melibatkan kemalangan tersebut turut tular di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram