Mekanik mengaku tidak bersalah rogol anak saudara, hasilkan video pornografi


Tertuduh didakwa merogol anak saudaranya, menghasilkan video pornografi dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu yang berusia tujuh tahun pada ketika itu. — Gambar Hiasan

SEORANG bekas mekanik kapal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Selasa atas tiga tuduhan merogol, menghasilkan video pornografi dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya, lima tahun lepas.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu turut menghadapi pertuduhan memiliki gambar serta video pornografi, Mei lepas.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V.M Mabel Sheela.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa tiga anak lelaki itu didakwa merogol anak saudaranya, menghasilkan video pornografi dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu yang berusia tujuh tahun sembilan bulan ketika kejadian, di sebuah rumah di Jalan Rawa, Taman Perling, Johor Bahru pada pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

Dia juga dituduh memiliki pelbagai video dan gambar pornografi kanak-kanak di sebuah rumah di Taman Nusantara, Iskandar Puteri, Johor Bahru, pada 24 Mei lepas, 9 malam.

Bagi kesalahan rogol dan menghasilkan video pornografi, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan amang seksual tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Bagi kesalahan memiliki video dan gambar pornografi pula dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin berkata perbuatan dilakukan tertuduh adalah tidak boleh dijamin, namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta tiga syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam Baharudin Baharim yang mewakili lelaki itu memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan anak, manakala permit kerja tertuduh juga sudah dihentikan sejak ditahan polis.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan tersebut dan 24 Julai ini ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh akan menghadapi pertuduhan di beberapa negeri lain seperti Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah membabitkan mangsa sama. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram