[VIDEO] Wanita 'kantoi' guna kad bank tercicir beli sabun di Kuantan


  • Tular
  • Isnin, 26 Jun 2023

Tangkap layar seorang wanita yang didakwa menggunakan kad bank orang lain di sebuah pasar raya di Kuantan.

SEORANG wanita ‘kantoi’ didakwa menggunakan kad bank milik seorang lelaki dipercayai tertinggal kad berkenaan di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Video tersebut turut dimuat naik semula di akaun Twitter nan manjoi8715 pada Isnin. Namun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian itu berlaku.

Menerusi video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan seorang lelaki dipercayai pemilik kad berkenaan berjumpa dengan wanita tersebut untuk meminta semula kadnya.

Difahamkan, video tersebut juga dirakam oleh kakak kepada pemilik kad tersebut, selain turut mendakwa wanita berkenaan cuba melarikan diri ketika ditanya mengenai kad tersebut.

Wanita itu pada mulanya tidak mengaku menggunakan kad itu untuk membeli barang dan menjelaskan ingin memulangkannya kepada pekerja pasar raya yang bertugas.

"Saya memang ambil kerana saya jumpa dan saya berniat untuk memulangkan kad tersebut," katanya dan turut menafikan menggunakan kad tersebut.

Pemilik kad berkenaan turut mempertikaikan tindakan wanita tersebut yang menggunakan kadnya untuk membuat pembayaran ketika membeli barang.

Namun menerusi satu lagi video yang dirakam melalui kamera rakaman tertutup (CCTV) pasar raya menceritakan situasi yang sebaliknya apabila suspek dipercayai menggunakan kad bank lelaki tersebut.

Menurut pemilik video berkenaan lagi, wanita tersebut melakukan dua transaksi pembayaran menggunakan kad tersebut.

"Pada mulanya, dia sudah beli sabun gunakan kad itu sebelum masuk sekali lagi ke pasar raya tersebut untuk membeli barangan lain," katanya.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan daripada pihak polis berkenaan insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram