TULAR satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dirempuh sebuah lori treler ketika menjalankan tugas di sebuah jalan raya di Indonesia baru-baru ini.
Mangsa yang juga merupakan anggota penguat kuasa, pada waktu kejadian cuba menghentikan kenderaan berat tersebut dalam satu sekatan jalan raya.
Dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan lori berwarna hijau memberhentikan kenderaannya seketika namun tiba-tiba bergerak semula dan diilihat merempuh mangsa.
Kejadian itu menyebabkan mangsa terperosok ke bawah lori treler berkenaan.
Rakan setugas mangsa yang berada di tempat kejadian terus menjerit ke arah pemandu lori tersebut untuk memberhentikan kenderaan dan cuba membantu mengeluarkan mangsa.
Namun begitu, nasib baik menyebelahi mangsa apabila dia dilihat keluar dari bawah lori tersebut dengan sendiri dan hanya mengalami cedera ringan.
Memetik laporan media antarabangsa Jatim Times, kejadian tersebut berlaku pada 18 Jun lalu dan video berkenaan mula ditularkan baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis Losarang, Pesuruhjaya Sunardi berkata, kejadian itu berlaku disebabkan sebuah lagi kenderaan melanggar lori hijau berkenaan dari arah belakang.
"Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan pemandu tersebut sudah diambil keterangannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram