KELAKUAN seorang pegawai polis kanan wanita yang tular membuat onar di media sosial bertemu titik noktah selepas dia digantung kerja sejak minggu lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung dua kes kekasaran melibatkan dirinya pada minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini dua kertas siasatan berkenaan wanita yang dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' itu dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Katanya, rakaman percakapan suspek telah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
"Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihak polis mempunyai kaedah penyiasatannya tersendiri bagi menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.
Majoriti pada Sabtu melaporkan pegawai polis wanita yang lebih dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' bergaduh mulut dengan orang awam akibat perebutan tapak parkir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Kejadian tersebut dirakam oleh mangsa dan tular di media sosial turut menyatakan wanita berkenaan juga mahu menampar mukanya sebelum ada saksi cuba meleraikan pergaduhan.
Sebelum itu, wanita berkenaan tular memarahi dan memalukan seorang pegawai polis berpangkat rendah yang sedang menjalankan tugas di Medan Selera Lebuh Utama, Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis.
Menerusi video berdurasi 26 saat itu, wanita berkenaan yang memakai baju kemeja putih dilihat meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan sambil merendah-rendahkan dan mempersoalkan pangkat anggota terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram